Tahniah wakil rakyat Selangor, apa pula pendirian Pas Pusat?

Tahniah wakil rakyat Selangor, apa pula pendirian Pas Pusat?

Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat Pas Selangor atas keberanian mengambil ketetapan mengeluar kenyataan menyokong saranan gencatan serangan dan kompromi antara parti pembangkang yang dicadangkan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas baru-baru ini.

Menurut beliau, langkah berani MP dan Adun Pas Selangor mengambil ketetapan tersebut menunjukkan pandangan jauh mereka betapa pentingnya Pas kembali bersama pakatan parti parti pembangkang.

“Gencatan senjata yang disarankan Tuan Ibrahim adalah sangat penting bagi mengelak pesepsi negatif rakyat terhadap Pas dan parti parti pembangkang,” kata Mahfuz dalam kenyataannya hari ini.

Adun Taman Templer yang juga Exco Selangor, Zaidy Talib mengesahkan 12 Adun dan satu MP Pas telah menandatangani surat menyokong kenyataan gencatan serangan Tuan Ibrahim itu.

Bagi Mahfuz, kenyataan berani MP dan Adun Pas Selangor itu kerana menyedari bukan sahaja parti pembangkang menyerang Pas tetapi Pas juga menyerang rakan parti pembangkang yang lain sebelum ini dengan mengistihar parti pembangkang musuh Pas.

“Sokongan mereka untuk gencatan senjata dan kompromi dikalangan parti pembangkang adalah satu perakuan dan penerimaan yang baik terhadap keujudan parti parti pembangkang yang ada walaupun sebelum ini parti parti ini dianggap oleh Pas sebagai mengkianati Pas,” katanya.

Bagi beliau, Amanah, Dap dan PKR bergabung menentang Pas dalam dua Prk baru baru ini tetapi semua menyedari tidak berkesudahan berantakan sesama pembangkang sedangkan Najib dan Umno Bn senyum sampai ketelinga.

“Semua pihak di kalangan parti parti pembangkang perlu berjiwa besar mengakui kelemahan dan kesilapan dalam tidakkan dan perkataan.

“Demi Malaysia dan rakyat yang mengharapkan perubahan pada masa depan negara gencatan senjata dan kompromi dikalangan parti pembangkang dan kembali kepada meja perundingan dan bukannya terus kekal dengan perbalahan adalah satu keperluan,” katanya.

Namun, kata Mahfuz, timbul persoalannya kenapa tidak diambil ketetapan itu atas nama Badan Perhubungan Pas Selangor.

“Dimana suara keberanian Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat negeri Selangor,” tanya Mahfuz.

Bagi beliau, sokongan terhadap cadangan Tuan Ibarahim bukan untuk kepentingan mereka yang bergelar wakil rakyat tetapi untuk servival masa depan Pas di persada politik negara.

Kata Mahfuz, kepimpinan Pas pusat juga tidak seharusnya melihat cadangan Tuan Ibrahim sebagai pandangan peribadi beliau kerana pandangan tersebut tidak mendatangkan mudharat kepada Pas sebaliknya untuk membawa kembali Pas ke arus perdana politik negara bersama rakan rakan pembangkang yang lain.

JANGAN PUTUS ASA

Mahfuz berharap, Wakil rakyat Pas Selangor teruskan usaha untuk merealisasikan pendirian dan ketetapan gencatan serangan dan kompromi yang  telah buat.

“Walaupun ada yang menganggap anda lebih sayangkan jawatan dari sayangkan Islam dan takut kalah dalam pru14 dari takutkan akhirat.

“Hulurkan tali penyelamat untuk keluarkan mereka yang berada dalam perigi buta ke alam nyata seperti yang diungkap oleh Datuk Iskandar Naib Presiden dan Pesurujaya Pas Selangor di facebooknya,” kata bekas naib presiden Pas itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru Pas dan parti parti pembangkang mengubah persepsi rakyat yang melihat parti pembangkang dengan imej perbalahan sesama sendiri kepada pembangkang adalah parti perubahan masa depan.

“Ubahlah pesepsi rakyat dari pembangkang sebagai parti yang suka bergaduh kepada parti yang bersangka baik dan melaksanakan seruan penyatuan,kebaikkan dan keadilan sebagai tunggak perubahan.

“Berubah lah dari dilihat sebagai parti yang mementing parti sendiri kepada parti yang mementing dan mengutamakan rakyat dan Malaysia tercinta.

“Jangan kita kekal dalam kebebalan.Jangan simpan kesilapan dan kebodohan tetapi belajarlah dari kesilapan dan kebodohan untuk melangkah gagah dengan kebijaksanaan untuk menempah kejayaan dengan izin Tuhan,” katanya.

TAGS