Tanjung Piai: Bendera parti dicabut antara kes dibuka kertas siasatan

Tanjung Piai: Bendera parti dicabut antara kes dibuka kertas siasatan

Polis Johor membuka tiga kertas siasatan daripada 24 laporan yang diterima berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sepanjang proses kempen berlangsung di kawasan itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata antara kes yang dibuka kertas siasatan termasuk kes bendera parti yang dilaporkan dicabut di sekitar Kampung Baru Permas dan kes berkaitan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kes basikal lajak.

Katanya, dua kes daripadanya sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

“Polis menjangkakan kempen pilihan raya di Tanjung Piai akan menjadi semakin agresif menjelang hari pengundian pada 16 November nanti.

“Kita tidak mahu kempen seperti melakukan provokasi antara satu sama lain yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Beliau turut berharap proses kempen yang menggunakan kenderaan mendapatkan permit daripada pihak polis supaya tugas pemantauan mudah dilakukan.