
Tanjung Piai: Laluan sukar bagi PH?
Ketika menulis rencana ini tinggal hanya tiga hari lagi untuk para pengundi keluar mengundi pada pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 16 November.
Banyak yang telah ditulis dan diulas oleh pelbagai pihak dan nampaknya pengamatan kebanyakan menunjukkan perjalanan yang sukar bagi Pakatan Harapan.
Dari segi kawasan, memang parlimen Tanjung Piai bukanlah kubu PH, ia memang kubu BN-Umno sejak sekian lama walau kerusi itu ditandingi dan dimenangi calon dari sekutu Umno, iaitu MCA, kecuali pada pilihan raya umum yang lepas apabila PH melakukan “kejutan” dengan menang tipis atas wakil MCA itu.
Ini bermakna “base” atau simpanan undi bagi Umno-BN-MCA tetap ada. Sokongan bagi gabungan itu tetap utuh walaupun boleh berlaku peralihan undi secara kecil berdasarkan isu dan prestasi.
Perlu diingat semasa pilihan raya umum yang lalu wujud gelombang penolakan terhadap Umno-BN dan automatisnya semua sekutu Umno dalam BN seperti MCA, Gerakan dan MIC. Oleh itu kekalahan yang dialami calon popular dari MCA di Tanjung Piai tidak menghairankan.
Jika ditanya apakah kedudukannya sekarang menjelang hari pembuangan undi, walaupun sukar diramalkan parti yang akan menang, apa yang jelas ialah sementara pihak BN tidak menghadapi banyak masalah untuk meyakinkan pengundi untuk memilih mereka keadaannya agak berbeza dengan PH.
Barangkali ini adalah kerana faktor “bebanan sebuah kerajaan” atau dipanggil “travails of incumbency”. Kejayaan juga membawa masalah.
Kenapa tidak? Kalau diperhatikan cara perjalanan pentadbiran sekarang ditambah dengan budaya politik baru menyebabkan kerajaan PH menghadapi kesukaran untuk mengekalkan momentum yang dicapai menjelang dan sejurus selepas pilihan raya yang lepas.
Kini, PH berhadapan dengan banyak masalah yang tidak ditangani dengan efektif dan meyakinkan.
Daripada komposisi Jemaah Menteri kepada tindakan politik, PH dilihat berhadapan masalah.
Rata-rata dalam komuniti media sosial, terdapat rungutan tentang prestasi beberapa menteri yang dilantik Perdana Menteri yang dilihat sebagai gagal menunjukkan kebolehan mereka mentadbir kementerian masing-masing dan kurang menonjol dalam membawa agenda perubahan kepada rakyat.
Banyak kedengaran tentang beberapa menteri yang tidak pernah kelihatan dalam membawa gagasan atau program kementerian mereka. Sehingga ada komen sinis yang mempersoalkan apakah kementerian tersebut mempunyai menteri atau tidak?
Di samping itu PH juga dibebani dengan budaya politik baru berpaksikan “keterbukaan”. Keterbukaan yang diamalkan di mana media tidak disekat atau dikongkong, kebebasan berhimpun dan bersuara yang diberikan semaksimum mungkin dan yang peliknya keterbukaan ini memberi manfaat lebih banyak kepada pihak pembangkang berbanding parti kerajaan kerana ketidakupayaan pemimpin dan aktivis kerajaan menangkis serangan dan propaganda yang dibawa oleh pembangkang.
Sebagai contoh, isu “penyatuan Melayu-Muslim” yang dicanangkan oleh Umno dan Pas yang boleh dikatakan berjaya meyakinkan massa Melayu-Muslim sedangkan pihak parti kerajaan masih mencari-cari formula bagaimana hendak menerangkan kepada massa Melayu-Muslim bahawa “penyatuan” itu bukan dibuat atas dasar keikhlasan tetapi dasar politik semata-mata untuk menumbangkan kerajaan PH? Dan bagaimana “agama” diperalatkan untuk membakar emosi agar orang Melayu menyokong Umno-Pas dan BN.
Itulah antara sebab kedudukan pengundi Melayu di Tanjung Piai barangkali tidak banyak berubah berbanding pilihan raya yang diadakan sebelum PRU ke 14. Masih terdapat sokongan yang besar kepada calon dari BN.
Bahkan jika dikatakan bahawa pengundi Melayu di sana masih beranggapan BN memerintah negara, apakah ini tidak menunjukkan kegagalan PH menampilkan diri sebagai kerajaan Malaysia pada hari ini?
Ini tidak mengambil kira pula sentimen pengundi Cina. Kalau semua laporan diteliti, memang ada anjakan sokongan kepada calon BN pada pilihanraya kali ini.
Apa yang dinyatakan ialah kekecewaan pengundi Cina terhadap PH dalam menangani isu-isu asasi dan juga bagi memberi mesej kepada PH untuk melakukan perubahan.
Dalam baki tiga hari ini PH perlu membuat sesuatu agar ia tidak mengalami nasib yang sama dalam pilihanraya sebelum ini di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.
Apakah ia mampu melakukannya? Tunggu dan lihat.
*Penulis, bekas profesor madya di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur