Tanjung Piai mesej rakyat pilih cara tengah

Tanjung Piai mesej rakyat pilih cara tengah

“Sokong (calon) nombor 4!”

“Esok kita boleh panggil Tuan YB Haji Karmaine!”

Sorakan penyokong Pakatan Harapan (PH) bergema mengulang ungkapan semangat itu di Pusat Perdagangan Pontian malam ini.

Dua jam sebelum kempen PRK Tanjung Piai berakhir, calon PH Karmaine Sardini diiringi kehadiran pemimpin-pemimpin tertinggi komponen parti pemerintah.

Liew Chin Tong said a state election committee was formed last May for possible snap election

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong

Lokasi ceramah dengan khalayaknya berbilang kaum itu juga menyaksikan ucapan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong diselang-selikan dalam bahasa Cina.

Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, PRK esok penting bagi menentukan bukan sahaja hala tuju kawasan penghujung Benua Asia itu bahkan negara.

Senator itu juga mengingatkan PRK Tanjung Piai tidak wajar menjadi isu perkauman sebaliknya medan untuk membincangkan kepentingan rakyat.

“Sepatutnya kita bahas, sembang santai tentang peluang perniagaan, apa berlaku di Pontian, Kukup dan Pekan Nanas. Sepatutnya isu-isu ini yang dibawa dalam PRK,” tegasnya di lokasi berdekatan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjung Piai itu.

Beliau berkata, BN mengamalkan pendekatan politik rasis yang mengapi-apikan rasa tidak puas hati antara kaum.

Sebaliknya, tegas beliau, PH mengamalkan pendekatan jalan tengah.

“Kalau depan pengundi Melayu, disebut bahawa Melayu dan Islam terancam.

“Kalau depan pengundi Cina dan India, dikatakan DAP tiada kuasa, parti tidak guna.

“Ini cara kempen yang diamalkan (BN). Kalau esok PH menang mesej Tanjung Piai kepada seluruh negara bahawa rakyat Malaysia menolak fitnah cara Umno, Pas dan MCA.

“Sebaliknya, rakyat sokong pendekatan PH. Cara kita, jalan tengah. Kita bersama Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Kita berjuang untuk semua.

“Esok kita menentukan hala tuju negara yang mengamalkan jalan tengah,” ujar Chin Tong lagi.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 22,000 pengundi Cina iaitu 41.52 peratus daripada keseluruhan pengundi di wilayah yang terkenal dengan kawasan pelancongan, Taman Negara Johor.

Terdapat 27 pusat mengundi masing-masing 11 di Dun N.55 Pekan Nanas dan 16 di N.56 Kukup melibatkan 125 saluran mengundi.