‘Tanpa Bang Mat, tiada perhimpunan Bersih’

‘Tanpa Bang Mat, tiada perhimpunan Bersih’

Peranan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sejak berada dalam Pas lagi diakui telah menjayakan perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007 yang kemudiannya menyumbang tsunami politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) empat bulan selepas itu.

Mesra memanggil bekas pimpinan Pas berkenaan sebagai ‘Bang Mat’, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP, Liew Chin Tong berkata, keputusan PRU 2008 hasil daripada demonstrasi menuntut pilihan raya yang bebas penipuan itu.

“Saya jadi sekretariat (Bersih dengan) Dr Dzulkefly, Dr Hatta. Peranan Bang Mat penting.

“Kalau tiada Bang Mat, tiada perhimpunan Bersih pada 2007 yang begitu penting untuk mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum 2008.

“Ini peranan pemimpin Bang Mat juga pemimpin-pemimpin lain yang kemudian melibatkan diri dalam AMANAH,” akuinya pada slot Diskusi Buku ‘Parti Amanah Negara’ di Ampang, Selangor semalam.

Ahli Parlimen Kluang itu berpendapat sejumlah pemimpin AMANAH yang pada 1999 berada dalam Pas sebenarnya mempertahankan idea gabungan parti pembangkang dalam menentang BN.

Menurutnya, kumpulan tersebut bagaimanapun bertembung dengan golongan konservatif yang dilihat mengamalkan pendekatan memecahkan kesepakatan antara parti pembangkang dan pada masa sama menjadikan BN selesa.

“Pemimpin AMANAH adalah mereka yang mempertahankan idea gabungan alternatif sejak lama lagi.

“Kawan-kawan yang terlibat dalam AMANAH adalah pemimpin yang sama apabila Barisan Alternatif ditubuhkan pada 1999.

Liew Chin Tong bersama Ahmad Lutfi Othman di majlis pelancaran buku Parti Amanah Negara di Hotel De Palma, Ampang semalam.

“Barisan Alternatif hampir hancur sebelum Pilihan Raya Umum 2004. Salah satu sebab ialah kemunculan Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri baharu.

“Tetapi juga ada kaitan dengan dokumen Negara Islam yang dibentangkan puak konservatif dalam Pas,” jelasnya yang memperoleh tesis sarjana di Australia dalam penyelidikan ilmiahya mengenai dinamika politik Pas.

Chin Tong berkata, kajiannya itu meneliti perbandingan antara dokumen dikemukakan Dr Dzulkefly Ahmad yang kini Pengarah Strategi AMANAH menerusi Memorandum Pas Kepada Rakyat Malaysia Dalam Konteks Demokrasi Abad ke-21 dengan dokumen Negara Islam yang ditulis bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

“Wujud dua aliran dalam parti Pas pada masa itu. Satu, mementingkan idea gabungan alternatif. Satu lagi, mementingkan idea Pas sebagai satu parti tanpa mengambil kira konteks,” hujahnya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu berkata, usaha mempertahankan idea gabungan alternatif sangat sukar ekoran tindakan balas BN untuk menggagalkannya.

“Parti kerajaan BN faham kalau ada satu alternatif yang setanding, dia mungkin kalah.

“Idea yang paling baik untuk BN ialah gabungan politik untuk semua tetapi Pas serang Umno daripada perspektif Melayu, DAP serang MCA daripada perspektif Cina. Ini yang paling baik bagi BN.

“Tapi apabila DAP bergabung dengan Pas dan parti-parti lain atas agenda bersama, dia (BN) takut dia hancur,” katanya.

Chin Tong turut menyifatkan Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Perak serta pimpinan AMANAH lain sama berperanan menyelamatkan idea gabungan oposisi.

“Dalam wawancara Ustaz Ahmad Awang dalam buku ini (Parti Amanah Negara) ada disebut ‘selepas 2008 saya (Ustaz Ahmad) meragui pendirian Haji Hadi apabila (bekas) Pesuruhjaya Pas Selangor, Hassan Ali berunding dengan Khir Toyo untuk menubuhkan kerajaan Umno-Pas Selangor yang hampir terlaksana kalau tidak kerana peranan Khalid Samad menggagalkannya.’

“Kalau tiada peranan semacam Ustaz Ahmad Awang, Khalid Samad dan kawan-kawan, negara kita tidak menikmati hasil demokrasi pada 8 Mac 2008,” tegasnya dalam diskusi yang dimoderatorkan Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan.

Sehubungan itu, Chin Tong berkata, kesepakatan blok pembangkang menerusi Pakatan Harapan pada masa ini juga wujud kerana pendirian politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang celik dengan muslihat BN.

“Saya mahu kongsikan mungkin mengingatkan apa berlaku PRU-13. Selepas Mei (PRU-13), Yusuf Kalla yang kini Wakil Presiden jadi perantara antara Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Najib.

“Najib minta Anwar masuk kerajaan, Anwar kata dia tidak akan masuk selain rundingan di antara Pakatan Rakyat dengan BN bukan antara PKR dengan BN.

“Kerana itu, hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penjara. Kita mesti beri penghormatan kepada beliau,” tegasnya serentak disambut tepukan gemuruh hadirin yang majoritinya pimpinan dan penyokong AMANAH.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Johor mengingatkan taktik halus pemimpin BN adalah mematahkan kesepakatan blok pembangkang dengan menyerang satu demi satu pemimpin parti.

“Tujuan Najib mudah saja. Dia mahu hancurkan pakatan. Dia keluarkan Anwar (masuk penjara). Selepas itu PKR, dia mendekati Pas.

“Dia beritahu pembangkang itu DAP sahaja dan DAP itu Cina. Kalau Melayu undi pembangkang maka Lim Kit Siang jadi perdana menteri.

“Itu hujah (BN). Mudah saja tapi ada pimpinan AMANAH, ada kawan-kawan Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) serta kami semua mempertahankan idea gabungan alternatif,” tambahnya.

6.2
OVERALL SCORE
5 user votes x 7.4
CATEGORIES