Tanpa bantuan orang ramai Rumah Peduli tinggal mimpi

Tanpa bantuan orang ramai Rumah Peduli tinggal mimpi

Parti Amanah Negara Kawasan Sik mengakui tanpa sumbangan orang ramai bagi tabung bantuan rumah Peduli Rakyat, hasrat untuk membantu golongan miskin di daerah yang kaya dengan kemiskinan sukar dicapai.

Ketuanya, Sulaiman Ibrahim atau dikenali sebagai Leman Raja Lawan berkata, mereka yang merupakan penoreh getah adalah kelompok rakyat yang seolah-olah terlepas pandang oleh pihak berwajib.

Memberitahu tentang perkembangan terkini bantuan Rumah Peduli, beliau berkata, majlis pecah tanah untuk program yang melangkah fasa ketiga bagi tahun ini di Kampung Kerawai, Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeneri telah dirasmikan semalam.

“Dibuat lengkap tiga bilik sesuai demi keselesaan keluarga penerima hasil sumbangan sahabat-sahabat dari luar yang membantu. Insya-Allah, Amanah Sik akan menyiapkannya sebelum bulan Mei tahun ini.

“Tanpa bantuan rakan-rakan dari luar, mungkin Rumah Peduli ini tidak dapat direalisasikan. Seandainya sahabat-sahabat mempunyai lebihan sedikit rezeki, bolehlah berkongsi sedikit untuk membantu menjayakan bantuan ini,” ujarnya.

Pada hari yang sama semalam, Leman dan kumpulannya, Gerak Gerila Amanah Sik sempat melawat sebuah keluarga daif yang tinggal di atas bukit di Kampung Baru Sik dengan jarak 11 kilometer dari jalan raya utama.

“Kedudukan tanah di antara sempadan Sik dan Baling. Mandi dan minum menggunakan air bukit. Malam hari menggunakan pelita minyak tanah dan kadang-kadang menggunakan lampu kabaid.

“Jika nak masukkan elektrik memerlukan 35 tiang untuk sampai ke dalam. Masak masih lagi menggunakan dapur kayu. Kedatangan Amanah Sik petang tadi dilayan dengan baik dan disediakan air teh,” katanya lagi.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi Bank Rakyat 1138 4100 0549 atas nama Parti Amanah Negara Kawasan Sik.

Sumbangan orang ramai dialu-alukan bagi disalurkan kepada lebih ramai rakyat miskin di Sik

TAGS