Tanpa bergabung, Khalil anggap sokongan kepada Pas meningkat

Khalil Abdul Hadi (kiri) bersama Nik Abduh dalam Muktamar Pemuda Pas 2016. Foto Bernama.

Pas menyifatkan sokongan kepada mereka meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berbanding ketika berada bersama-sama gabungan Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Pas, Khalil Abdul Hadi berkata sokongan popular untuk parti Islam telah meningkat dari 1.5 juta hingga lebih daripada dua juta pengundi.

“Undian popular meningkat kepada 18 peratus. Ini menafikan dakwaan bahawa Pas kononnya tidak lagi relevan. Kami mempunyai sokongan yang signifikan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

“Pada pilihan raya umum yang lalu (PRU-13), kami tidak dapat banyak kerusi ketika menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat. Kali ini, kami bersendirian, dan mendapat tempat yang lebih baik,” dipetik daripada The Star hari ini.

Untuk rekod, PH mendapat 50 peratus (5.7 juta pengundi) undi popular pada PRU-14 manakala BN merosot kepada 32 peratus (3.6 juta pengundi) berbanding 49 peratus pada PRU-13.

Pada PRU 2013, gabungan PKR, Pas dan DAP di bawah blok Pakatan Rakyat memperoleh 52 peratus undi popular.

Khalil yang menang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Burok berkata, Pas juga tidak kehilangan deposit.

“Dakwaan bahawa kami akan kehilangan deposit, dan akan kehilangan lebih banyak kerusi terbukti tidak berasas,” tegas anak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Berbanding pada PRU 2013, beliau berkata, ketika itu Pas dituduh diperalatkan DAP.

“Pilihan raya kali ini, kami dituduh menjalin hubungan dengan Umno.

“Oleh kerana tuduhan yang tidak wajar, kami membazirkan terlalu banyak masa untuk menjawab tuduhan dan bukannya memberi tumpuan kepada manifesto kami,” katanya yang menewaskan penyandang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Sehubungan itu, Khalil menegaskan Pas akan menggunakan media sosial untuk berkempen pada PRU akan datang.

Sekarang, ujarnya, PH dan Pas harus memberi fokus kepada pengurusan kemenangan selepas Umno-BN tidak relevan ekoran dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Mereka yang berada di pantai barat menyokong Pakatan, dan mereka di pantai timur menyokong Pas.

“Kita perlu bergerak ke hadapan, mempamerkan kematangan politik kita,” tambahnya lagi.

Kalah teruk

Untuk rekod, Pas mendapat majoriti dua pertiga di Kelantan apabila menawan 37 daripada 45 kerusi Dun manakala di Terengganu menang 22 daripada 32 kerusi Dun.

Pas pula memberi persaingan sengit di Kedah apabila menang 15 kerusi Dun manakala PH (18) dan BN tiga kerusi Dun.

Di Perak, Pas yang hanya menang tiga kerusi Dun dilihat berperanan memecahkan undi di negeri itu apabila PH menang 29 kerusi manakala BN mendapat 27 kerusi Dun.

Sebaliknya, Pas kalah teruk di Selangor apabila hanya menang satu daripada 47 Dun yang ditandingi iaitu di Sijangkang berbanding 15 kerusi Dun pada PRU-13.

Sementara itu, Pas di Johor hanya menang satu Dun di Bukit Pasir dengan majoriti 1,883 undi dalam pertandingan dua penjuru dengan BN berbeza empat kerusi Dun yang dimenangi pada PRU 2013.

Bahkan, 45 calon Pas Johor hilang deposit di kerusi Parlimen dan Dun.

Parti yang bermusuh dengan PH itu juga langsung tidak menang satu kerusi Dun pun di Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Secara keseluruhan, Pas mendapat 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dun di seluruh negara berbanding 22 kerusi Parlimen dan 85 Dun pada PRU-13.

3.2
OVERALL SCORE
: 6.0
4 user votes x 2.5
CATEGORIES
TAGS