Tanpa harga lantai getah, hidup penoreh tambah merana

Tanpa harga lantai getah, hidup penoreh tambah merana

Kerajaan perlu menyegerakan tuntutan rakyat agar harga lantai RM3.50 sekilogram sekerap dilaksanakan bagi meringankan bebanan rakyat di kampung-kampung yang sedang menderita dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Malah ada penduduk menyatakan harga tersebut belum memadai jika dibandingkan dengan perbelanjaan dapur dan perbelanjaan harian yang tidak stabil sekarang ini.

“Kerajaan perlu tunaikan segera permintaan ini sesuai dgn keadaan ekonomi sekarang terutama yang melibatkan orang kampung,” kata Zilkifli Hanafi, 55, penoreh di Batu Hitam berasal dari pekan Kuala Nerang dan merupakan seorang pesara tentera.

Ismail IbrahimBagi Ismail Ibrahim, 86, harga lantai ini perlu dilaksanakan secepat mungkin sebagai satu usaha untuk mengeluarkan golongan penoreh dari kelompok kemiskinan tegar.

Manakala Jamaluddin Jaafar, 48, juga pesara tentera beranggapan nilai RM3.50 itu belum memadai.

“Kerajaan sepatutnya meletakkan RM5.00 sebagai harga lantai sesuai dengan nilai semasa bagi melepaskan rakyat dari paras miskin,” ujarnya.

Tambah Jamaluddin, jika dibandingkan harga ikan kembung sekitar RM7.00 sekilogram, manakala beras 5kg berharga RM13.00, keadaan ini sudah tentu tiada keseimbangan antara pendapatan dengan kos sara hidup harian rakyat.
     
Justeru itu tambah beliau, kerajaan perlu segera menetapkan harga lantai getah untuk membantu rakyat.

Penoreh dari kampung Seberang Padang Sanai, Mohd Sirajuddin, 54, bersetuju supaya kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram.

Menurutnya, harga getah sekerap RM2.20 sekilogram menyukarkan penoreh menyara hidup memandangkan harga barangan dan pekhidmatan semakin mahal.

“Sebelum ini kemarau keras susu getah berkurangan, sekarang pula musim hujan, getah tidak boleh ditoreh, ertinya pendapatan rakyat sentiasa berkurangan,” katanya.
     

“Rakyat susah yang amat-amat,” keluh seorang peniaga kedai runcit dari Kampung Ulu, Azli Alias, 41.
     

Mohd SirajuddinMenurutnya, kerajaan perlu menetapkan harga lantai getah sekerap kepada RM5 sekilogram bagi membantu penoreh dan pekebun kecil getah.

“Dulu pemimpin BN kata barang makanan tiada GST tapi sebenarnya ada. Ini membuktikan kerajaan sekadar berbohong untuk mengaburi mata rakyat semata-mata,” kesal Azli.
     

Seorang penoreh, Mohd. Aris, 39, berpendapat dengan menetapkan haga lantai getah sekerap kepada RM5 sekilogram akan memberi sedikit nafas  kepada penoreh.
 
    
Walaupun kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan melaksanakan mekanisme penetapan harga di ladang, ianya belum mencukupi.

Usaha memperkukuhkan mekanisme penentuan harga getah melalui
Panel Penasihat Harga Getah juga tidak banyak membantu pekebun kecil dan penoreh.
    
Ini kerana sistem yang dilaksanakan tidak menyeluruh dan tidak menepati sasaran sebenar iaitu penoreh memandangkan tidak semua penoreh menjadi pemilik kebun.
     

“Sikaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana sebab belanja dan pendapatan tak seimbang terutama di musim hujan,” kata peniaga air tebu, Abu Seman Ismail, 46, seperti dilapor keluaran terbaru akhbar Amanah.
     

Harga sekerap yang tidak stabil turut menjejaskan pendapatan peniaga kecil kerana pelanggan mereka daripada kalangan penoreh terpaksa berhemah dalam berbelanja.

Ini lebih dirasai terutama ketika hampir bulan Ramadan dan hari raya yang memerlukan perbelanjaan keperluan dapur yang lebih besar.

     
Sulaiman IbrahimSebelum ini rakyat Kedah telah mengadakan beberapa siri demonstrasi derita rakyat di Baling dan Sik bagi menuntut kerajaan menetapkan harga lantai sekerap kepada RM3.50 sekilogram.

     
Sementara itu Pengarah Biro Tanah dan Luar Bandar AMANAH Kedah merangkap Ketua AMANAH Kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim turut berharap kerajaan manunaikan segera tuntutan rakyat bawahan ini.
     

Menurutnya lagi, jika kerajaan enggan menetapkan harga lantai getah, AMANAH akan terus membuat desakan.
     

“AMANAH akan menyusun demontrasi tuntutan harga lantai ini bagi membawa suara rakyat bawahan sehingga kerajaan membuat satu penyelarasan bagi harga getah di negara ini,” tegas Sulaiman.

TAGS