Tanpa hutan yang sihat, rakyat Malaysia boleh mati kebuluran

Tanpa hutan yang sihat, rakyat Malaysia boleh mati kebuluran

Central Forest Spine (CFS) adalah gugusan kompleks hutan yang diklasifikasikan di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) untuk empat kawasan atau kompleks hutan yang sensitif di Semenanjung Malaysia yang mempunyai nilai ekosistem dan jumlah hidupan liar yang tinggi.

Kawasan CFS ini merentasi lapan buah negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor; dan terdiri daripada empat kompleks hutan besar yang utama iaitu:

i) Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Nakawan,
ii) Taman Negara- Banjaran Timur,
iii) Pahang Tenggara, Chini dan Tasik Bera, dan
iv) Taman Endau Rompin- Rizab Hidupan Liar Kuang.

Antara keempat-empat kompleks ini, terdapat sambungan hutan untuk menghubungkan satu kompleks hutan dengan kompleks hutan dan lain, dan juga kepulauan hutan yang kecil. Ia digelar:

i) Primary Linkage – Sambungan antara kompleks hutan besar dengan kompleks hutan besar yang lain
ii) Secondary Linkage – Sambungan antara kompleks hutan besar dengan kepulauan hutan kecil yang lain

Bagi kawasan kompleks hutan dan kepulauan hutan yang sudah terpisah, melalui linkage ini, kerajaan telah membina jalan hutan (wildlife crossing) bagi membolehkan hidupan liar ini bergerak dari satu kompleks hutan ke kompleks hutan yang lain.

Kawasan CFS terdiri daripada empat kompleks hutan besar yang utama.

Ancaman terhadap CFS

Walaupun Central Forest Spine ini adalah kawasan yang sensitif dan perlu dilindungi sebagaimana disebut dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) namun, di peringkat negeri dan juga persekutuan masih banyak terdapat projek-projek pembangunan yang tidak mampan diluluskan.

Antaranya, pembalakan komersial, pembukaan ladang monokultur berskala besar, perlombongan, pembinaan empangan, lebuhraya/jalanraya, pembangunan tanah tinggi, pekebunan dan sebagainya; dan juga terdapat banyak juga aktiviti pencerobohan dan penerokaan haram.

Ini kerana, mengikut Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Senarai II dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hal ehwal dan perkara berkaitan tanah, air, hutan dan sumber asli adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Oleh itu, kerajaan negeri mempunyai kuasa yang mutlak terhadap hal ehwal ini sehingga mereka tidak mahu mengikut dasar dan polisi kerajaan pusat termasuk CFS di bawah Rancangan Fizikal Negara ini dan mengeksploitasi tanah dan hutan secara besar-besaran demi menjana ekonomi negeri.

Bahkan rancangan pembangunan persekutuan juga kadangkala dilihat sengaja melanggar dasar CFS ini seperti pembinaan Lebuhraya Pantai Timur dan cadangan trek keretapi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Oleh itu, dengan keadaan urus tadbir yang lemah, dasar yang tidak mampan, dan kurangnya usaha pemantauan terhadap aktiviti haram oleh penguatkuasa dan orang ramai, membuatkan kawasan ini semakin merosot dari segi kuantiti dan kualiti, lalu membuatkan kompleks hutan ini semakin kecil, berpecah ke bahagian-bahagian kecil dan berlaku fragmentasi (penceraian) koridor habitat hidupan liar.

Bahkan statistik menunjukkan, liputan hutan di Semenanjung Malaysia telah berkurang daripada 77 peratus pada 1946 kepada 43.7 peratus pada hari ini akibat aktiviti pembangunan ini.

Gangguan terhadap CFS mengancam banyak spesies hidupan liar.

Fragmentasi habitat dan koridor hidupan liar

Fragmentasi habitat dan kompleks hutan ini menyekat pergerakan bebas spesis flora dan fauna lalu menyebabkan kemusnahan habitat.

Akhirnya ia bakal membuatkan hutan kita merosot dari segi kepelbagaian tumbuhan dan haiwan. Fragmentasi hutan menyumbang kepada perkara berikut:

• Menyebabkan kematian dan kepupusan hidupan liar terancam seperti Badak Sumbu, Harimau, Tapir, Seladang dan sebagainya
• Kemerosotan liputan hutan
• Merosakkan integriti alam sekitar dan kemerosotan kawasan tanah tinggi
• Memusnahkan kawasan tadahan air dan sungai
• Memusnahkan kawasan rekreasi dan eko-pelancongan
• Melenyapkan sumber pelancongan dan khazanah warisan negara
• Memusnahkan sumber ubat-ubatan
• Menjejaskan aktiviti pendidikan dan penyelidikan berasaskan alam semulajadi

Contoh fragmentasi hutan yang berlaku di Gua Musang, Kelantan.

Mengapa CFS perlu kita lindungi?

Ia bukan sahaja untuk manfaat flora dan fauna, tetapi juga untuk kepentingan rakyat Malaysia. Ini kerana 80 peratus daripada kawasan CFS menjadi kawasan hutan tadahan air yang membekalkan bekalan air bersih untuk hampir 22.3 juta rakyat Malaysia.

Pendek kata, 80 peratus rakyat Malaysia memerlukan CFS untuk bekalan air di rumah bagi minuman, memasak, membasuh pakaian, mandi, pertanian, tujuan komersial, perniagaan dan kegunaan yang lain.

Selain itu, mengikut kajian yang dibuat oleh UNDP, kawasan kompleks hutan ini memberikan perlindungan keselamatan kepada rakyat daripada bencana alam seperti banjir, kemarau, tanah runtuh, ribut taufan, kawalan suhu, keselamatan makanan, air, tenaga, mengairi sawah-sawah padi dan tanah pertanian.

Kawasan kompleks hutan juga membekalkan peluang pekerjaan, ubat-ubatan, eko-pelancongan, sosioekonomi, menampung kehidupan komuniti Orang Asli, nelayan, petani dan 1,001 manfaat yang lain.

Pendek kata, tiada CFS, ramai rakyat yang akan terkorban akibat kebuluran, kemiskinan, malnutrisi, kehilangan harta benda, kecederaan dan kemalangan jiwa.

Bagi kepentingan hidupan liar pula, haiwan terancam seperti Harimau Malaya, Tapir, Seladang, Beruang Madu dan sebagainya semakin berkurangan akibat kehilangan habitat, tempat mencari makanan dan dilanggar di jalanraya.

Bahkan, statistik menunjukkan dari tahun 2011 hingga 2016, sebanyak 1,784 ekor haiwan liar pelbagai spesis telah mati dilanggar ketika melintas jalanraya atau lebuhraya akibat fragmentasi habitat.

Dari tahun 2007 hingga 2015 pula, konflik antara gajah dan manusia menyebabkan kerugian pertanian yang dianggarkan dalam RM 27 juta.

Pembangunan tidak lestari mengakibatkan pemecahan kompleks hutan sekali gus membahayakan haiwan liar.

Mengikut Dasar Kepelbagaian Biologi Nasional (2016-2025), transisi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi telah memberikan tekanan yang dahsyat kepada biodiversiti negara – sehinggakan setengah daripada spesis tumbuh-tumbuhan negara sedang menghadapi ancaman kepupusan dan telah berlaku kepupusan spesis seperti Badak Raya, Badak Sumatera, Burung Merak (Green Peafowl) dan spesis pokok seperti Damar Hitam (Shorea kuantanesis).

Faktanya, Dasar Kepelbagaian Biologi Nasional (2016-2025) ini menjelaskan bagaimana pentingnya untuk kita menjalankan usaha pemuliharaan biodiversiti ini bagi menjamin keselamatan makanan dan air; serta memberikan khidmat ekosistem seperti tanah yang subur.

Bahkan, masih terdapat bilangan komuniti yang besar yang masih bergantung kepada hutan yang sihat sebagai sumber makanan dan ubat-ubatan.

Kerajaan seharusnya benar-benar bermuhasabah dengan dasar ekonomi dan dasar pembangunan yang sedia ada kerana ia jelas tidak mampan untuk jangka masa panjang.

Sumber asli yang tidak boleh diperbaharui ini tidak seharusnya dimusnahkan demi memenuhi kepentingan ekonomi jangka masa pendek.

Transisi kepada ekonomi yang lebih hijau seperti penghasilan produk bukan pembalakan (Non-Timber Forest Production) seperti eko-pelancongan, memperkembangkan industri herba hutan dan sebagainya.

Apa yang jauh penting lagi, segala aspek pembangunan haruslah menghormati rancangan fizikal negara dan dasar nasional yang lain agar perancangan pembangunan yang lebih lestari dan pembukaan tanah yang disiplin mampu menjawab kepada permasalahan pembangunan caca merba pada hari ini.

*Penulis merupakan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) Perak.