Malaysia Dateline

Hanipa Maidin 1

Tanpa kelulusan Parlimen wang dibelanjakan tidak sah

Bekas Timbalan Menteri Undang-undang, Mohamed Hanipa Maidin hari ini membidas kenyataan pegawai khas Najib Razak, Isham Jalil yang menyatakan dua rakan sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang tidak memahami perlembagaan negara.

Hanipa berkata, kedua-dua pemimpin politik berkenaan sama sekali tidak menyebut bahawa kerajaan tidak boleh membelanjakan wang dari pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Jumaat lalu.

“Setakat yang saya baca kenyataan Kit Siang dan dengar penjelasan lisan Anwar Ibrahim, tak ada pun depa berdua kata tak boleh belanja wang dari pakej rangsangan ekonomi yang dibentang oleh Perdana Menteri.

“Ya, anda betul bila anda kata boleh belanjakan dulu tanpa kelulusan Parlimen seperti kes bajet tambahan.

“Tapi tak boleh sama sekali lari dari Parlimen untuk kelulusan walaupun dah belanja duit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden PKR dan Penasihat DAP itu menggesa pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, untuk dibahaskan di Parlimen.

Dalam pada itu, Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang menempelak kenyataan tersebut dan mengingatkan bahawa setiap sen wang negara yang hendak dibelanjakan perlu melalui Parlimen dan diluluskan oleh Parlimen .

Katanya, tiada apa yang silap apabila dua tokoh politik itu (Anwar Ibrahim dan Kit Siang) mencadangkan agar diadakan sidang khas untuk membahaskan pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan.

“Nak lulus kena bahas dulu. Itu lah sistem demokrasi Parlimen ala Wesminster. Wang negara juga bukan wang kita atau wang mak bapa kita.

“Jadi, bila kedua-dua tokoh itu cadang sidang khas Parlimen untuk bahas dan lulus, kat mana silapnya dan kat mana yang mereka tak fahamnya?,” soalnya.

Malah katanya, sekiranya tanpa kelulusan Parlimen, maka segala wang yang dibelanjakan adalah wang tidak sah seolah-olah ianya wang rompakan.

“Kesimpulannya, kerajaan pintu belakang tak boleh lari dari Parlimen.

“Takkan lepas kena tuduh gomen (kerajaan) haram, nak juga kena tuduh guna wang haram. Hormat lah sikit kat Menteri Agama itu paling kurang pun, jika tak mahu hormat Menteri Alam Sekitar,” katanya.

Terdahulu, Isham berkata, pakej rangsangan ekonomi COVID-19 yang diumumkan oleh Perdana Menteri kelmarin tidak perlu dibahaskan di Parlimen dan ianya membazir masa.

Menurutnya, desakan PH itu seolah-olah sama ada tidak faham perlembagaan atau mahu mencuri perhatian rakyat kepada kepentingan politik mereka.