Malaysia Dateline

Tanpa mengira aliran sekolah, Anwar gesa semua akur dengan bahasa Melayu

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan tentang pentingnya semua pihak akur dengan penguasaan bahasa Melayu tanpa mengira aliran pendidikan.

Berucap dalam Syarahan Negarawan 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini, beliau berkata, penguasaan bahasa kebangsaan mesti terus diberi keutamaan.

“Tidak kira apa aliran (sekolah) pun, penguasaan bahasa Melayu mesti mantap sebagai bahasa kebangsaan. Saya tegas (soal) bahasa. Tidak boleh kita remehkan,” ujar calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu.

Anwar turut mengaitkan bahasa kebangsaan sebagai kekuatan akar tradisi dan budaya rakyat di negara ini yang tidak harus diabaikan.

Pada masa sama, beliau juga mahu seluruh Ahli Parlimen menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat berlangsung.

“Mahu tidak mahu, Parlimen itu mesti dijalankan dalam bahasa kebangsaan. Yang maki (dalam perbahasan), itu kelas bawahan.

“Dalam perbahasan (Parlimen), kita mesti jaga mutu perbahasan,” tegasnya dalam syarahan bertajuk ‘Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuhkan Negara Bangsa’.

Sehubungan itu, Anwar turut mencadangkan agar DBP melaksanakan kursus penguasaan bahasa kebangsaan kepada Ahli Parlimen.

“Satu tugas Dewan Bahasa dan Pustaka adalah mengadakan kursus bahasa (Melayu) kepada Ahli Parlimen,” saran Ketua Umum PKR itu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pada masa sama, soal penguasaan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris dan usaha meningkatkan mutu pendidikan mesti digiatkan.

“Senat-senat universiti harus mengutamakan bahasa kebangsaan. Universiti Kebangsaan (UKM) kalau meremehkan bahasa kebangsaan, saya tidak boleh terima.

“Tapi kalau Universiti Kebangsaan mahu mengadakan program memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, saya akan sokong.

“Bagi saya penguasaan bahasa dan mutu pendidikan lebih bermakna,” jelasnya lagi dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dr Mohamed Hatta Shaharom.