Malaysia Dateline

Tanpa MoU PH-kerajaan, faedah besar untuk rakyat tidak akan dapat dicapai

Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Persekutuan akhirnya mampu memberi faedah besar yang dapat dimanfaatkan secara terus kepada rakyat.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, banyak cadangan pembangkang yang sebelum ini ditolak oleh kerajaan, namun berjaya dipersetujui bersama dan dimasukkan ke dalam memorandum persefahaman semalam yang secara jelas telah menguntungkan rakyat.

Melalui perjanjian tersebut katanya, kerajaan telah bersetuju menyuntik dana secara langsung sebanyak RM45 bilion ke dalam ekonomi negara selepas berkali-kali pembangkang mendesak untuk melakukan suntikan dana tersebut.

“Sekurang-kurangnya kerajaan terima cadangan kami buat selama ini untuk menyuntik RM45 bilion ke dalam ekonomi sungguhpun kerajaan telah lancarkan lapan pakej berjumlah RM500 bilion.

“Tapi pakej itu semua tidak berjaya langsung selamatkan ekonomi. Mengapa? Kerana dana secara langsung yang disuntik selama ini sangat kecil iaitu RM83 bilion sahaja,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu Guan Eng berkata, permintaan pembangkang berkenaan moratorium yang sebelum ini ditolak, akhirnya dipersetujui kerajaan dan dimasukkan ke dalam memorandum persefahaman yang ditandatangani mereka.

“Permintaan pembangkang bahawa dalam pinjaman moratorium, mestilah ada satu klausa mengecualikan pembayaran faedah. Dulu ditolak tapi akhirnya dimasukkan dalam MoU semalam.

“Inilah faedah yang diterima rakyat ekoran memorandum ditandatangani PH dan kerajaan. Tanpa tandatangan, ini semua takkan terjadi,” katanya lagi.

Pada masa sama, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mencelah dan bertanya, adakah Guan Eng setuju bahawa dengan tandatangan perjanjian itu juga, sebanyak 11 juta rakyat miskin bandar dan miskin tegar yang hilang pendapatan akan menerima bantuan dalam masa terdekat dengan peruntukan sehingga RM10 bilion.

Guan Eng bersetuju dengan pertanyaan Fahmi itu, bahawa peruntukan terbaru sebanyak RM10 bilion merupakan salah satu faedah besar yang akan dinikmati rakyat secara terus tidak lama lagi.

Beliau juga menegaskan, pembangkang akan terus menjalankan peranannya sebagai medium semak dan imbang dan tidak akan sesekali memberi laluan percuma kepada kerajaan melakukan apa sahaja yang melanggar peraturan.