Malaysia Dateline

Tanpa pemimpin PKR, Mahathir jumpa pimpinan PH, Warisan

Pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) siang tadi berlangsung tanpa kemunculan wakil PKR.

Gambar Mahathir bersama enam pemimpin PH dan Warisan itu dikongsikan pembantu bekas Perdana Menteri, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin.

“Hari ini Tun M (Dr Mahathir) meeting Pakatan Harapan Plus (Bersatu Tun M dan Warisan) bersama, lepas itu YB Shahruddin (Ahli Parlimen Sri Gading) datang mengejut jumpa Tun M lepas umum letak jawatan,” katanya disertai tagar #KembalikanPilihanMajoriti.

Selain Mahathir, kelihatan dalam gambar itu ialah Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikaikan, Mukhriz Mahathir dan Marzuki Yahaya yang mengaku masih Setiausaha Agung parti itu.

Sementara itu, di sebelah kanan Mahathir ialah Presiden Warisan Shafie Apdal manakala Presiden AMANAH Mohamad Sabu di sebelahnya.

Turut hadir dalam pertemuan itu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.

Berhubung ketidakhadiran wakil PKR dalam pertemuan itu, sumber memberitahu Malaysia Dateline bahawa PKR masih menantikan jumlah sokongan yang benar-benar selamat.

Sumber juga mendakwa terdapat usaha untuk memujuk kembali Azmin Ali untuk meninggalkan PN.

“PKR masih skeptikal lagi. Kalau jumlah kurang 120 memang bahaya. Kena tunggu juga lepas tiang gol itu. Ada usaha pujuk puak Azmin u turn,” katanya.

Ura-ura kencang mendakwa Dr Mahathir dan PH sedang merancang untuk mengambil alih semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).