Malaysia Dateline

Tanpa persetujuan pemegang amanah, Presiden Umno bawa keluar RM17.9 juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan sebanyak RM17.9 juta dana Yayasan Akalbudi dikeluarkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa persetujuan ahli lembaga pemegang amanah yayasan berkenaan.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Fazli Zulkifli, dalam keterangannya berkata, pengeluaran wang itu berdasarkan siasatannya adalah jenayah pecah amanah.

Katanya, wang tersebut digunakan untuk memberi saham syarikat kepada anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah selain disimpan sebagai simpanan tetap.

“Berlaku aktiviti pecah jenayah terhadap wang milik Yayasan Akalbudi yang bernilai RM17.9 juta, yang mana ia dikeluarkan tanpa persetujuan pemegang amanah lain.

“Wang itu kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun Lewis & Co,” lapor BH.

Fazli berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi ketika sesi pemeriksaan semula.

Saksi ke-93 pendakwaan itu turut memberitahu mahkamah semua arahan diterima Lewis & Co adalah dari Ahmad Zahid dan firma guaman itu tidak boleh bertindak tanpa arahan.