Malaysia Dateline

Tanpa peruntukan RM300,000, MP PH konsisten agih bantuan makanan sejak awal PKP

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menegaskan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi telah konsisten mengagihkan bakul makanan kepada rakyat susah.

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pihaknya kadang-kala bergelut untuk mencari dana bagi membantu rakyat.

“Alhamdulillah. Itu semua tidak pernah merencatkan semangat pasukan kami untuk membantu rakyat.

“Hakikatnya, kerja-kerja membantu rakyat khususnya dalam penghantaran dan pengagihan bakul makanan telah pun pasukan kami lakukan secara konsisten sejak sekian lama.

“Boleh layari FB rasmi kami. Hampir setiap minggu sejak PKP yang awal-awal, walaupun pada masa itu kami tidak pernah diberi wang RM300,00 seperti sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Agihan makanan kepada rakyat di Parlimen Sepang meliputi semua kaum.

Sehubungan itu, kata Hanipa, peruntukan RM300,000 yang diterima terus dibelanjakan bagi membeli sebahagian besar barangan untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan demi membantu rakyat dalam tempoh yang kritikal pada masa ini.

“Penyediaan bakul makanan ini sudah tentu ada prosesnya tersendiri yang hakikatnya sebenar, di dalam sistem demokrasi yang sebenar, sepatutnya ianya dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah kerajaan. Itulah tugas hakiki mereka.

“Namun, Alhamdulillah, kami tidak ada masalah untuk cuba membantu menjalankan tugas-tugas tersebut,” ujarnya.

Sampai ke tangan

Hanipa yang juga Ahli Jawatankuasa Nasional AMANAH memberitahu pasukannya akan cuba sedaya upaya untuk mengagihkan bakul makanan daripada peruntukan RM 300,000 itu secara adil mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Walau bagaimanapun, kata Hanipa, pihaknya sedar peruntukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu tidak mungkin dapat merangkumni semua penerima yang memerlukan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan pasukannya perlu melakukan tugas memproses pendaftaran para penerima termasuk melayani panggilan telefon dan pesanan WhatsApp yang bertali arus selain mereka yang menyerbu pejabatnya.

“Semua proses itu bukan sahaja memakan masa dan tenaga yang banyak, tapi juga amat meletihkan.

“Justeru, kami mengharapkan sedikit pemahaman akan situasi kami tersebut.

“Kami juga penuh sedar malangnya, ada pihak yang mempunyai niat tidak baik yang cuba mengkucar-kacirkan keadaan bagi tujuan-tujuan tertentu,” dedahnya.

Hanipa meninjau Taman Murni yang dikenakan PKPD dan menyampaikan bekalan 550 pek ayam dan papan telur bagi menampung setiap isi rumah yang terkesan.

Beliau berkata, matlamat pasukan agihan bakul makanan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang kelolaannya adalah ingin menyerahkan sendiri sumbangan kepada para penerima berbanding rakyat bersusah payah untuk datang ke pejabat.

“Buat para bakal penerima khususnya yang telah mendaftarkan diri dengan kami, insya-Allah bakul makanan itu akan sampai ke tangan anda.

“Oleh yang demikian, kami cuma mengharapkan kesabaran anda dan pemahaman situasi kami.

“Bagi pihak yang ada niat jahat untuk cuba mengucar-kacirkan keadaan hentikanlah niat anda itu,” tegas Hanipa lagi.

Untuk rekod, Mahiaddin Md. Yasin memaklumkan pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan dengan peruntukan berjumlah RM300,000 dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), 28 Jun lalu.

Mahiaddin berkata, kerajaan mengambil sikap mengenepikan perbezaan politik dengan peruntukan sama diberi kepada Ahli Parlimen pembangkang.