Malaysia Dateline

Tanpa pindaan Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Anti-Lompat parti tidak mencukupi

Undang-undang Anti-Lompat Parti walaupun baik untuk reform institusi dan pemulihan demokrasi, namun tidak konklusif untuk mengekang pengkhianatan mandat rakyat selagi mana Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda.

Pengamal Undang-undang Faiz Fadzil berkata, walaupun diluluskan Akta Anti-Lompat Parti, Ahli Parlimen masih boleh menjatuhkan kerajaan atau menukar perdana menteri tanpa perlu melompat parti kerana pilihan adalah ditentukan Ahli Parlimen sendiri dan bukannya parti.

“Bagaimanapun ahli politik perlu mempunyai tekad politik (political will) untuk menghormati mandat rakyat dan demokrasi,” katanya.

ADUN Permatang Pasir itu juga berkata, mekanisme yang cuba dicari kerajaan ataupun PH, peruntukan Perkara 43 yang perlu dipinda, bagi menghalang penukaran perdana menteri atau kerajaan di tengah tempoh Parlimen.

“Dalam erti kata lain, tiada PM yang boleh ditukar kecuali dalam keadaan mati, tidak berupaya kesihatan (fizikal atau mental) atau PM meletak jawatan,” katanya.

Faiz berkata, Akta Anti-Lompat Parti bukanlah konklusif menghalang perbuatan lompat parti ini berulang kerana setiap warganegara mempunyai hak untuk memilih parti mana yang disukainya yang dijamin Perkara 10(1) (c) Perlembagaan Persekutuan sepertimana diputuskan Mahkamah Agong dalam kes Nordin bin Salleh v Dun Kelantan.

Tambahnya, kedudukan wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Adun yang melompat parti hilang kelayakan sebagai wakil rakyat adalah satu dilema yang masih belum dimuktamadkan.

“Apakah mekanisme terbaik menghurai permasalahan ini masih belum dibincangkan secara lumat.

“Yang menjadi isu dan aduan adalah tindakan melompat parti sehingga jatuhnya sesebuah kerajaan atau bertukar PM.

“Perkara ini yang perlu dikekang supaya demokrasi dihormati pada setiap masa dan seterusnya keluhuran Perlembagaan dijunjung bagi mengekalkan kestabilan politik dalam negara,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, mandat rakyat dikembalikan adalah paling penting, yang disebut “recall election” di mana sekiranya ada wakil rakyat yang melompat parti (bukan dipecat), maka rakyat berhak melalui jumlah peratusan tertentu petisyen menuntut kerusi yang diwakili tersebut dikosongkan dan diadakan pilihanraya semula.

“Ia bukan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat secara automatik kerana ada keadaan di mana parti membuat keputusan bertentangan dengan agenda asal atau aspirasi rakyat, maka wakil rakyat berhak melompat parti.

“Keadaan ini pernah berlaku ketika mana Pas membuat keputusan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan wakil rakyat parti itu keluar parti dan membentuk parti baru.

“Maka, dalam keadaan ini, apakah adil kerusi tersebut dikosongkan secara automatik atau petisyen “recall election” pilihan lebih baik. Persoalan ini masih belum ada solusi yang tuntas,” ujarnya.

Bagi mengekang perbuatan melompat parti, ramai ahli politik mencadangkan diwujudkan Akta Anti-Lompat Parti. Cadangan ini bukan sahaja satu usaha reform institusi bagi mengangkat amalan demokrasi yang lebih baik, tetapi juga bagi memelihara kesucian demokrasi supaya peristiwa hitam ‘Langkah Sheraton’ tidak lagi berulang.

Perbuatan melompat parti ini yang telah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah satu pengkhianatan kepada mandat rakyat dan mencabul kesucian demokrasi di mana ‘parti yang kalah jadi kerajaan, parti yang menang jadi pembangkang’.