Tanpa pinjaman Mara, 1,000 pelajar di 33 kolej swasta mungkin berhenti

Tanpa pinjaman Mara, 1,000 pelajar di 33 kolej swasta mungkin berhenti

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Biro Mahasiswa Pemuda PKR dalam satu kajian mendapati hampir 1,000 pelajar di 33 kolej swasta sukar meneruskan pengajian ekoran Majlis Amanah Rakyat (Mara) menamatkan pemberian pengajian pelajaran.

Ketua Biro Pelajar Pemuda PKR, Fahmi Zainol, berkata 80.7 peratus pelajar terlibat mungkin akan menamatkan pengajian sekiranya tidak menerima pinjaman, manakala 82 peratus pelajar secara peribadi mengetahui rakan mereka sudah berhenti belajar kerana gagal mendapatkan pinjaman.

“Mara mempunyai masalah untuk memberikan pinjaman. Kemudahan permohonan pinjaman atas talian mereka juga sudah tidak lagi menerima permohonan baharu,” lapor Selangorkini.

Fahmi berkata, lebih 90% daripada responden kajian itu melahirkan kebimbangan dengan keadaan kewangan mereka.

“Kebanyakan pelajar ini sudah mendaftar di kolej masing-masing bermula Julai tahun lepas. Apabila gagal memohon pinjaman, mereka terpaksa menggunakan duit ibu bapa bagi membayar yuran semester pertama.

“Tetapi kini, mereka sudah memulakan semester ke-2 tahun ini dan tidak tahu di mana mereka boleh dapatkan duit untuk membayar yuran pengajian.

“Sebab itu beberapa pelajar berhenti selepas semester pertama (pada Julai),” katanya.

Pada 12 Februari lalu, Mara berkata sejumlah RM264 juta sudah diperuntukkan kepada pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mengadu mereka tidak menerima pinjaman seperti dijanjikan.

Kajian itu juga mendapati kira-kira 80 peratus daripada 945 pelajar berkenaan yang merupakan penuntut kolej tajaan Mara yang sudah dijanjikan pinjaman pelajaran. Ini termasuk pelajar yang menuntut di UniKL.

Fahmi berkata, pihaknya juga mendapati mereka yang sedang menuntut di kolej bukan tajaan Mara juga berharap pemberian pinjaman pelajaran mereka dikekalkan.

Daripada 33 institusi itu, sembilan adalah politeknik Mara di Johor, Pahang, Kedah dan Kelantan. Selebihnya merupakan kolej swasta di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.

Dua daripadanya ialah universiti luar negara, Universiti Sunderland di London, United Kingdom dan Universiti Mansoura, Mesir.

Semua 945 pelajar itu juga sudah menulis surat kepada sebuah pusat aduan atas talian yang dibuka biro berkenaan.

“Tetapi kami mengesahkan aduan mereka dengan melawat universiti berkenaan untuk bertanya sendiri dengan sekumpulan sampel pelajar terlibat,” kata Fahmi.

Pada 10 Februari lalu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli turut mendesak Mara untuk berterus terang mengenai program pinjaman agensi itu.

TAGS