Tanpa PSV, perkhidmatan e-hailing sudah cukup bagus, kata GDMA

Tanpa PSV, perkhidmatan e-hailing sudah cukup bagus, kata GDMA

Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) hari ini, mempersoalkan keperluan melaksanakan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi pemandu e-hailing termasuk Grab.

Presidennya, Arif Asyraf Ali berpendapat, perkhidmatan e-hailing sedia ada sudah cukup bagus kerana berpotensi memberikan situasi ‘menang-menang’ kepada pemandu dan juga penumpang.

Beliau mendakwa, pelaksanaan lesen PSV kepada pemandu e-hailing hanya untuk menutup mulut pemandu-pemandu teksi di luar sana, sedangkan sepanjang kira-kira empat tahun e-hailing beroperasi, perkembangan positif dapat dilihat.

“Sepanjang beroperasi bermula 2015, sudah terbukti e-hailing ini memberikan gambaran yang positif dalam industri Grab di Malaysia. Pemandu dan penumpang yang saling memerlukan juga dilihat saling berdisiplin antara satu sama lain.

“Jadi, tidak timbul apa-apa isu mengenai perkhidmatan e-hailing tersebut. Mustahil kalau saya katakan tiada masalah langsung berbanding sebelum ini, tetapi e-hailing ini yang terbaik untuk masyarakat dari segi tambangnya, mutu perkhidmatan dan juga pemandu.

“Bagi kami, PSV ini hanya untuk menguntungkan kerajaan (sumber pendapatan) dan pihak kerajaan bolehlah cakap pelaksanaan tersebut bertujuan ketelusan dan sebagainya, padahal sistem itu tidak bagus.

“Sedangkan tanpa lesen PSV dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sekali pun, e-hailing berjalan dengan lancar tanpa sebarang isu. Jadi kenapa nak tambah beban? Teksi yang ada PSV dan Puspakom pun teruk juga,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan tiga bulan melalui pendekatan ‘soft landing’ dan mendidik kepada semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat ditetapkan untuk terus beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik secara berperingkat kepada pemandu e-hailing.

Ketika ditanya faktor menyebabkan kerajaan memberi tempoh tambahan, Loke menjelaskan, pihaknya mengambil pendekatan praktikal apabila ramai pemandu e-hailing sedang menjalani proses PSV dan Permit Kenderaan E-hailing (Evp) yang sememangnya dijangka akan berlaku kerana melakukannya saat akhir.