Malaysia Dateline

Tanpa rasa takut Hishammudin akan beri kerjasama kepada SPRM

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap kementerian itu.

Ditemui pemberita di bangunan SPRM hari ini, Ahli Parlimen Sembrong yang berkemeja biru cair itu bagaimanapun tidak pasti kerana tidak tahu apakah soalan yang akan ditanyakan.

“Saya akan memberi kerjasama penuh (kepada SPRM) tanpa rasa takut atau pilih kasih. Dari dulu lagi saya beri kerjasama sepenuhnya.

“Yang paling penting sekarang semangat anggota tentera kita, kepentingan mereka dan keluarga mereka. Saya pun tak ada benda nak sembunyi,” kata bekas Naib Presiden Umno itu.

Hishamuddin antara yang dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung siasatan kes urus niaga ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Seorang lagi individu adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pernah menjadi Menteri Pertahanan.

Pada Februari lalu, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Pemberita mengambil peluang bergambar dengan Hishammuddin.