Malaysia Dateline

Tanpa sebut nama parti dan pemimpin pembangkang, Pas harap budaya politik matang diutamakan

Pas berharap budaya politik matang yang mengutamakan kesejahteraan negara, akan menjadi dimensi baharu bagi setiap bentuk sikap, pemikiran dan tindakan yang diterjemahkan ahli politik.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pemimpin politik perlu menjadi teladan kepada seluruh rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya hari ini, beliau sama sekali tidak menyebut nama mana-mana parti dan pemimpin pembangkang.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyifatkan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan pemimpin parti pembangkang adalah seiring titah nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya ahli Dewan Rakyat mengetepikan agenda politik dan bersatu hati menangani Covid-19.

Malah, Tuan Ibrahim berkata, Ismail Sabri menyatakan pertemuan tersebut bertujuan mencari titik persamaan dalam agenda kebajikan rakyat dan memperkasakan urus tadbir negara.

“Pendekatan Pas melalui Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) melihat suasana semak dan imbang yang dimainkan peranan oleh pembangkang, adalah suatu budaya politik yang mesti diperkasakan.

“Segala tindakan kerajaan yang baik untuk negara didukung, manakala yang salah pula diperbetulkan,” katanya.

Semalam, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) hadir pada pertemuan di pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.

Pertemuan Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Dattuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan Naib Presiden Umno itu berlangsung lebih satu jam.

Mengulas pertemuan selepas empat hari Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri itu, Anwar memberitahu kepada pemberita bahawa pembangkang tidak akan mempersulitkan kerajaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pembangkang juga bersetuju untuk mententeramkan dan mengurangkan suhu politik negara.

Calon Perdana Menteri dari pihak PH itu berkata, pertemuan bersama Ismail Sabri itu sebagai permulaan baik dengan pembangkang memberikan cadangan supaya isu pro rakyat diberi keutamaan.

Beliau berkata, antara yang dibincangkan adalah pencegahan Covid-19 yang lebih berkesan selain menyentuh permasalahan golongan miskin dan hilang pekerjaan.