Malaysia Dateline

Tanpa sokongan pengundi Melayu, PH agak sukar menang PRU-15

Pakatan Harapan (PH) dilihat berdepan jalan sukar untuk menang Pilihan Raya Umum (PRU) tanpa sokongan pengundi Melayu.

Ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, PH mesti mempunyai kekuatan untuk menarik sokongan pengundi Melayu sekiranya ingin bersaing dalam PRU-15 akan datang,

“Tanpa sokongan Melayu Muslim, PH agak sukar menang sebab mana-mana gabungan yang hendak menang PRU mesti mendapat sokongan Melayu Muslim.

“Apabila sudah jadi kerajaan, untuk kerajaan itu stabil, gabungan parti yang memerintah juga perlu mendapat sokongan Melayu Muslim.

“Tanpa sokongan Melayu Muslim, kerajaan akan ‘panas’ dan tidak selesa,” jelasnya dalam bual bicara ‘Diagnosis Membedah Politik Melayu-Islam Siri 1’ anjuran Pemuda AMANAH Nasional malam tadi.

Mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu, beliau mendedahkan sokongan pengundi Melayu begitu merudum.

“Mengikut simulasi kami semasa PRU-14 lagi, PH boleh memerintah walaupun berlaku sedikit anjakan daripada pengundi Melayu, menang pilihan raya.

“Di peringkat nasional, undi Melayu kepada PH sekitar 25 peratus tetapi dengan angka itu sudah mencukupi.

“Tapi dalam PRN (Johor) lepas, sokongan Melayu kepada PH menjunam teruk, hilang 18 peratus. Yang tinggal sekitar sembilan peratus sokongan,” jelasnya.

Penurunan mendadak sokongan pengundi Melayu itu, ujarnya, berlaku akibat pelbagai faktor.

Dalam masa sama, katanya, sokongan pengundi Cina kepada PH dalam PRN Johor juga turun mendadak daripada 89 peratus kepada 70 peratus.

“Walaupun masih besar, tetapi menyebabkan PH kalah agak teruk terutama di kerusi-kerusi segmen Melayu Muslim,” tambah Yusri lagi.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/prn-melaka-melayu-kembali-sokong-umno-cina-mula-jauhi-ph/

Baca juga: https://themalaysialife.com/panadol-dah-ada-tiruan-wanita-terkejut-nasib-baik-tak-sempat-telan/