Malaysia Dateline

Tanpa sokongan Umno-BN, tiada kerajaan PN

Tanpa sokongan ahli Parlimen BN termasuk dari Umno, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh wujud, tegas Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad.

Beliau berpendapat Umno-BN tidak harus berdolak-dalik kerana kerajaan yang wujud pada masa ini bukan semata-mata PN.

“Kerajaan yang ada dengan pelbagai masalah sekarang ini hasil daripada kelemahan pentadbiran juga dasar-dasar PN dan BN.

“Kita mahu Umno dan BN jangan seolah-olah cuci tangan konon tidak terlibat. Walhal, menteri-menteri ramai dari Umno,” katanya menerusi FB Live di Jom Channel hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menegaskan sikap Umno-BN yang cuba untuk tidak mengaitkan mereka dengan PN sebagai satu bentuk helah semata-mata.

“Ini semua satu pembohongan untuk menyucikan BN daripada PN. Sekarang ini bukan hanya kerajaan PN tetapi kerajaan PN dan BN,” ujar Khalid lagi.

Untuk rekod, ahli Parlimen Umno merupakan sebahagian pentadbiran kerajaan PN termasuk menjadi anggota Kabinet bersaiz XXL diterajui Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Untuk rekod, seramai 14 pemimpin Umno dilantik menganggotai Kabinet diumumkan Muhyiddin pada 9 Mac tahun lalu iaitu sembilan orang sebagai Menteri manakala lima sebagai Timbalan Menteri.

Sembilan Menteri Umno itu ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan – Menteri Pertahanan), Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli) dan Datuk Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Turut berada dalam Kabinet Mahiaddin ialah Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan); bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Luar Negeri) dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique menjadi Menteri Perpaduan Negara, sementara Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

Bulan lalu menerusi Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020), parti itu memutuskan tamatnya kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Walau bagaimanapun, menteri-menteri dan timbalan menteri Umno kekal dalam kerajaan PN selepas mendapat mendapat ‘nasihat’ Mahiaddin dalam pertemuan dengan Pengerusi PN itu pada 30 Mac lalu.