Malaysia Dateline

Tanpa undian belah bahagian, dua lagi peruntukan kementerian lulus

Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) melalui suara majoriti.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang mengumumkan perkara itu, berkata ia diputuskan dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen tanpa melalui proses undian belah bahagian.

Sebelum undian dijalankan, sesi penggulungan dibuat oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Pada 6 November lalu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli diperuntukkan RM2.10 bilion dalam Belanjawan 2021.

Dewan Rakyat juga sebelum itu meluluskan peruntukan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengumumkan perkara itu berkata, ia diputuskan dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen tanpa melalui proses undian belah bahagian.

Ketika pengumuman Belanjawan 2021 lalu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar diperuntukkan sebanyak RM10.19 bilion.