Malaysia Dateline

Tantawi dilantik YDP Yadim selepas Nik Omar dipecat

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi hari ini dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu menggantikan penyandang jawatan lama, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Pelantikan tersebut diumumkan menerusi laman Facebook rasmi Yadim Malaysia yang mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau.

“Warga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Ustaz Haji Nasrudin Hassan sebagai Yang Dipertua YADIM yang baharu,” tulisnya.

Semalam, Malaysia Dateline melaporkan Nik Omar telah pun ditamatkan kontraknya sebagai Yang Dipertua Yadim berkuat kuasa 15 Julai.

Satu tangkap layar emel Yang Dipertua Yadim itu kepada kakitangannya juga dimuatnaik oleh Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hisyamudin Ghazali.

Menerusi emel tersebut, Nik Omar memaklumkan semalam adalah hari terakhir beliau di Yadim.

Difahamkan, kontrak Nik Omar bersama Yadim sepatutnya berakhir pada Disember tahun ini namun ditamatkan lebih awal.