Tanweer sempena PRU14: Mempersembahkan yang terbaik

Tanweer sempena PRU14: Mempersembahkan yang terbaik

Firman Allah:

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, Padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya, dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (QS. Al Baqarah : 267 ).

Saudara-saudari aktivis PH yang dikasihi, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dan lain-lainnya, dari Barra’, katanya, “ayat ini turun menceritakan mengenai golongan Ansar yang memiliki pohon kurma. Masing-masing menyumbangkan kurmanya, sedikit atau banyak sesuai kemampuannya. Ada antara sahabat yang datang membawa satu hingga dua tandan kurma kemudian ia gantungkan di masjid.

Di masjid ada ahlus suffah (orang yang tinggal di masjid Nabi sebab tidak memiliki tempat tinggal) tidak mempunyai makanan, jika mereka lapar, mereka akan mendatangi tandan kurma itu, dan memukulnya dengan tongkat. Maka jatuhlah kurma yang segar dan masak untuk dimakan.

Namun ada juga dalam kalangan mereka yang datang membawa kurma yang kurang elok, busuk dan layu, ada yang telah tanggal dari tangkainya, lalu digantung di dua tiang masjid. Lalu Allah menurunkan ayat ini: “Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik…’” (Q.S. Al-Baqarah 267).

Ayat ini mengingatkan kita tentang sumbangan yang dilakukan untuk memenangkan dakwah ini. Sumbangan wang ringgit, masa, tenaga dan pengorbanan bagi memenangkan PH dalam PRU 14 ini.

Sumbangkanlah yang terbaik yang boleh dilakukan. Jika kita dihadiahkan sesuatu yang kualitinya buruk, maka sudah tentu kita tidak mengambilnya.

Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Aisyah RA:

‎عَنْ عَائِشَةَ قَالَ أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِضَبٍّ فَلَمْ يَأْكُلْهُ وَلَمْ يَنْهَ عَنْهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُطْعِمُهُ الْمَسَاكِينَ قَالَ لَا تُطْعِمُوهُمْ مِمَّا لَا تَأْكُلُونَ

Pernah Nabi SAW dihidangkan biawak (dhob) dan baginda tidak mahu memakannya dan tidak melarangnya. Lalu kukatakan: Ya Rasulullah, kita berikan saja kepada orang-orang miskin. Baginda bersabda: Janganlah kalian memberi makan mereka dari apa-apa yang kalian tidak mahu memakannya.

Ibnu Abbas menjelaskan: Allah memerintahkan untuk menginfakkan harta yang paling baik, paling bagus, dan paling berharga. Dia melarang berinfak dengan sesuatu yang remeh dan hina الْخَبِيثَ (yang buruk). Dalam hadis yang lain, baginda menyatakan:

‎إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبَاً
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik, tidak menerima kecuali yang baik-baik” (HR Muslim No: 1015)

Saudara-audari aktivis PH, marilah kita menginfakkan sesuatu yang paling baik dan berkualiti dalam perjuangan untuk memastikan perubahan politik di dalam negara ini berjaya menyinarkan harapan dan kejayaan untuk masa depan rakyat dan negara.

Mari kita korbankan wang ringgit, masa, keselesaan untuk beberapa hari sahaja yang tinggal ini. Jom kita turun padang dan bekerja di penjuru yang kita telah diamanahkan.

Jangan memilih harta yang “sisa” atau sisa waktu yang lebih untuk dakwah dan perjuangan ini. Bersungguhlah menyumbang untuk kemenangan PRU ini. Ayuh sumbangkan yang berkualiti dan terbaik Moga Allah menggantikan yg terbaik.

Ingatlah bahawa Islam tidak tertegak kecuali dengan mengorbankan apa yang kita cinta dan sayang.

Semuanya akan Allah ganti dengan jannah yang luasnya seluas langit dan bumi jika semua usaha ini dilakukan demi tujuan yang mulia. Bersegeralah sebelum kekayaan hilang, umur habis dan masa muda berlalu.

Bersegeralah sebelum hari mengundi berlangsung. Penyesalan tidak bererti jika kesempatan waktu yang diberi telah berlalu demi meraih kemenangan yang ditunggu.

COMMENTS

Wordpress (0)