Tapak kuil rusuhan USJ milik konglomerat Filipina?

Tapak kuil rusuhan USJ milik konglomerat Filipina?

Lokasi tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya adalah termasuk dalam rancangan pengembangan operasi pembangunan hartanah konglomerat terkemuka Filipina, Ayala Corporation di Malaysia, lapor Berita Harian.

Konglomerat multinasional itu mengambil alih penguasaan pegangan saham 66.25 peratus dalam syarikat hartanah tempatan MCT Bhd (MCT) awal tahun ini.

Ayala Corporation terbabit dalam perniagaan hartanah, perbankan, telekomunikasi dan tenaga itu.

Konglomerat itu mempunyai platform untuk merancang pengembangan perniagaan mereka ke Malaysia dan sudah mendapat kelulusan daripada lembaga mengenai pemerolehan 3.74 hektar (9.25 ekar) tanah di Lembah Klang, iaitu pengambilan hartanah pertama konglomerat itu selepas melabur di MCT.

Pada 18 April lalu, rangkaian berita sosial Filipina, Rappler.com melaporkan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ayala Land, Bernard Dy pada satu sidang media di Manila berkata, perancangan pengembangan hartanah syarikat itu ke Malaysia akan dibuat menerusi MCT.

Katanya, pengambil alihan tanah di Malaysia bernilai kira-kira P2 bilion (RM159.57 juta) yang dibuat menerusi MCT.

Ayala Land memiliki kepentingan saham 66.25 peratus dalam MCT dan pemaju hartanah terbesar Filipina itu dilapor memiliki bahagian pasaran di Bursa Saham Filipina berjumlah kira-kira RM53.69 bilion.

Bagaimanapun, hartanah di Kuil Sri Maha Mariamman kini berdepan isu apabila berlaku insiden rusuhan yang mengaitkan pemaju One City Development Sdn Bhd (One City Development), iaitu anak syarikat MCT.

Terbaharu, siasatan polis mendapati peguam kepada pemaju One City Development memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal Kuil Sri Maha Mariamman.

Dua peguam terbabit adalah antara 21 orang yang sudah ditahan polis setakat semalam bagi membantu siasatan insiden rusuhan berkenaan.