Tapau makanan?

Tapau makanan?

Apabila melihat seseorang itu membungkus makanan atau selalu disebut tapau dalam sesuatu majlis, pasti ada antara kita yang memandang serong perbuatan tersebut dan menganggap ia suatu perbuatan tidak sopan dan menganggap individu yang membungkus makanan itu “buruk lantak”.

Hakikatnya, bukan semua orang yang suka membungkus makanan untuk dibawa balik itu “buruk lantak”. Tak percaya?

Video Iklan TM Hari raya 2016- rezeki yang dikongsi lebih diberkati- berdurasi 3 minit memaparkan kisah Sofea, gadis kecil molek yang gemar membungkus makanan di majlis berbuka puasa atau Buffet Ramadan.

Sofea sentiasa menyediakan bekas makanan atau mangkuk tingkat khas untuk membungkus makanan yang berlebihan malah tidak segan silu bertanya jika ada makanan yang lebih untuk dibungkus sehingga diumpat oleh rakan-rakan sepejabatya.

Sofea, gadis yang selalu berbaju kurung dan ayu bertudung sering dituduh sebagai tidak malu dan kuat makan dek perbuatannya itu.

Namun Sofea langsung tidak kisah dengan pandangan serong rakan-rakannya itu.

Tiada siapa pun tahu sebab sebenar Sofea sering membungkus makanan.

Sehinggalah suatu hari, ketuanya ternampak Sofea sedang membagikan makanan yang bersusun di atas meja kepada sekumpulan orang yang beratur.

“Oh, siang kerja, malam berniaga,” kata ketuanya kepada isterinya.

“Eh, itu semua kan orang susah,” balas isterinya.

Sofea juga selalu berbuka puasa dengan gelandangan yang menerima makanan darinya.

Rupa-rupanya Sofea selalu membungkus makanan untuk diberikan kepada orang susah, bukan untuk dirinya sendiri.

Sofea tidak mahu makanan yang berlebihan itu dibuang begitu sahaja sedangkan masih ramai orang yang tidak mampu untuk membeli makanan apatah lagi merasa makanan yang sedap-sedap seperti yang disediakan semasa Buffet Ramadan.

Selepas ketua Sofea mengetahui hal yang sebenar, beliau turut membekalkan makanan dalam mangkuk tingkat kepada Sofea untuk diberiakn kepada orang susah.

Rakan-rakan sepejabatnya yang sebelum ini sering mengumpat Sofea juga melakukan hal sama sehingga penuh meja Sofea dengan mangkuk tingkat berisi makanan untuk orang susah.

Iklan yang sangat menyentuh hati ini kini menjadi viral di media sosial dan semoga lebih ramai yang prihatin selepas menonton iklan ini.

Semoga iklan ini mampu mengubah cara kita berfikir dan tindakan kita.

Semoga tidak ada lagi pembaziran pada bulan Ramadan dan kita lebih peka dengan nasib mereka yang memerlukan.

Syabas kepada TM atas idea menerbitkan iklan yang sarat mesej kemanusiaan ini.

COMMENTS

Wordpress (0)