Malaysia Dateline

Tapir ini benar-benar melintas, bukan di papan tanda sahaja

Kalau selama ini orang ramai biasa melihat ‘Tapir melintas’ di papan-papan tanda di tepi jalan sahaja, tetapi semalam pemandu boleh melihat sendiri bagaimana Tapir ini benar-benar melintas, bukan seekor tetapi dua ekor.

Ia berlaku di jalan dari Dungun menghala ke Marang, Terengganu berhampir pantau Rantau Abang yang terkenal dengan Penyu bertelor itu.

Dua ekor Tapir atau Tenuk yang melintas berhampiran pantai Rantau Abang, Terengganu semalam. Gambar FB Nur Fitri Damia.

Pengguna Facebook, Nur Fitri Damia menulis, “Kelibat dua ekor tapir melintas jalan dan hampir dilanggar kenderaan sebentar tadi di laluan Dungun menghala ke Marang.”

“Tapir tersebut dilihat berlari ke arah Pantai Rantau Abang,” tulisnya menerusi Facebooknya semalam.

Tapir atau Tenuk Malaysia (Tapirus indicus), merupakan tenuk terbesar di dunia dan hanya spesies tenuk inilah satu-satunya berasal dari Asia. Nama saintifiknya berasal dari Hindia Timur yang bermaksud habitat semula jadi spesies, kata Wikipedia.

Tenuk Malaysia menetap di Asia Tenggara khususnya Malaysia, selatan dan bahagian tengah Sumatera (Indonesia), Myanmar (latitud selatan pada titik 18° U) dan Thailand (sepanjang sempadan barat hinggalah ke selatan sempadan Thailand-Malaysia.

Selain itu tenuk turut kelihatan di kawasan selatan Kemboja dan Vietnam walaupun tiada pengesahan dibuat dan mungkin juga terdapat di Laos.

Tenuk Malaysia hanya tinggal di kawasan pergunungan terpencil dan habitat asalnya sudah pupus akibat perburuan manusia dan pembangunan.