Taqiuddin perkenal tarikan baharu anak muda

Taqiuddin (dua dari kiri) bergambar bersama pengusaha pusat sukan eSport di Simpang Jeram Muar.

Sebagai seorang Ahli Dewan Negeri (Adun) mewakili golongan anak muda, sudah menjadi kewajipan bagi YB Mohamad Taqiuddin Cheman menyantun selera golongan tersebut.

Adun Pulai Sebatang, Johor itu menyatakan, terdapat minat baru anak muda masa kini yang begitu cenderung kepada Sukan Elektronik (eSport).

Dalam program pertandingan eSport FIFA 2018 di Simpang Jeram Muar yang dirasmikannya, beliau berpendapat aktiviti yang menjadi minat baru anak muda ini perlu diperkembangkan dan disokong.

Katanya, anak muda hari ini lebih cenderung dengan pembabitan media sosial lantas sukan yang digelar eSport ini telah menjadi perhatian anak muda terutamanya di negeri Johor ini.

“Permainan ini (eSport) hari ini telah menjadi sukan antarabangsa dan kita dapati terdapat ramai golongan anak muda yang menceburi bidang sukan ini.

“ESport juga akan disenaraikan dalam salah satu sukan di Olimpik kelak dan sebagai sebuah negara yang mempunyai ramai peminat sukan ini perlulah mengambil peluang,” jelas beliau.

Katanya lagi, cadangan untuk memajukan sukan itu akan dibawa ke peringkat tertinggi di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor.

Sebelum ini ujar Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor itu, dalam sidang Dewan Negeri (Dun) beliau telah pun menyuarakan akan hasrat yang telah dikenal pasti olehnya.

Taqiuddin (duduk kanan) mencuba sukan eSport yang dirasmikan oleh beliau.

“Saya akan membawa perkara ini kepada pihak Kerajaan Negeri Johor untuk menyambut hasrat memperluaskan lagi sukan baru ini.

“Selain itu aktiviti sebegini perlu diperbanyakkan lagi bagi Johor mengambil peluang dan kesempatan untuk menghantar wakil ke kejohanan sukan antarabangsa yang meletakkan sukan ini sebagai sukan yang dipertandingankan.

“Hasratnya adalah untuk menyambut minat anak muda masa kini ke arah matlamat mengharumkan nama negara mahu pun negeri serta memberi peluang anak muda untuk mendapatkan hasil dari minat mereka,” kata beliau.

Dalam masa sama, beliau menyatakan kawalan antara latihan serta kegiatan sukan tersebut akan dipantau oleh pihak mereka bagi mengimbangi pembabitan anak muda agar tidak meninggalkan pendidikan mereka.

 

CATEGORIES