Malaysia Dateline

‘Taraf PR di New Zealand lebih penting dari tugas YB Segamat’

Perdana Menteri patut mengarahkan siasatan terhadap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang berkemungkinan berstatus Pemastautin Tetap di New Zealand.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoal sama ada permohonan cuti Santhara selama 55 hari di New Zealand berkaitan dengan syarat untuk mengekalkan status PR itu.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu dalam masa sama mengulangi soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim kepada Santhara sebelum ini.

“Adakah Edmund Santhara memiliki taraf Pemastautin Tetap (Permanent Resident/PR) negara New Zealand”?

“Jika benar Edmund Santhara ada PR New Zealand, adakah dia terpaksa bermastautin setiap tahun di sana dalam tempoh tertentu untuk mengekalkan status PR itu”?

“Kalau betul, patutlah dia berdegil tidak mahu balik. Dia perlu duduk di sana (New Zealand) dalam tempoh tertentu untuk kekalkan status PR. Itu sebab dapat cuti lama 55 hari,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat sebelum ini beralasan bahawa permohonan cuti panjang itu kerana mahu menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.

Dia yang bukan dari kalangan pribumi pertama menjadi ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga memaklumkan hampir setahun tidak berjumpa isteri dan anak-anaknya.

Alasan bekas pemimpin PKR itu susulan rasa tidak puas hati rakyat apabila tular borang permohonan cutinya di media sosial berserta kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Santhara berkata, permohonan cuti itu mengikut kelayakan Cuti Rehat seperti ditetapkan dalam peraturan pelantikan beliau sebagai timbalan menteri, selain kelayakan Cuti Tanpa Gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan Cuti Rehat.

Mengulas lanjut, Puad menyifatkan status PR lebih penting daripada tugas wakil rakyat di Segamat.

“Kerajaan pun satu hal. Macam mana boleh lulus cuti 55 hari. Lagi parah kalau tujuannya untuk kekal status PR. Pada pandangan rakyat, kerajaan telah bersubahat.

“PM patut arah siasat. Bahkan arah Timbalan Menteri itu balik segera. Rakyat Segamat mesti marah,” kata Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu lagi.

Sebelum ini, beliau pernah memberitahu cuti menteri dan timbalan menteri dibekukan pada musim banjir ketika era pentadbiran kerajaan BN.