Malaysia Dateline

Tarian sebahagian tradisi pengamal undang-undang, kata Hanipa

Majlis jamuan malam dan tari-menari adalah sebahagian daripada tradisi fraterniti perundangan di negara ini walaupun ia kelihatan agak kebaratan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Jelasnya, fraterniti peguam di Malaysia mempunyai banyak tradisi yang agak unik dan hanya ada dalam profesion itu sahaja, malah kadang-kadang dilihat seperti ‘terlalu ke-Inggerisan.’

Antara tradisi berkenaan, katanya, peguam pelatih perlu melakukan kunjungan hormat ke kamar hakim apabila diterima masuk menjadi peguam manakala semasa di dalam mahkamah, para peguam akan memanggil rakan mereka ‘rakan saya yang arif’ meskipun mereka merupakan pihak lawan di dalam mahkamah.

“Program majlis makan malam dan tari menari yang ‘dipanaskan’ tak tentu fasal itu, hakikatnya adalah sebahagian daripada tradisi tersebut. Ya, saya akui ia mungkin kelihatan sedikit kebaratan dan dilihat oleh ‘pihak-pihak suci’ tidak ‘patuh syariah’.

“Tetapi, bagi saya, menyokong dan memberi ‘nyawa’ dan ‘oksigen’ suatu masa dahulu pada rejim kleptokratik juga bukanlah Islamik atau ‘patuh syariah’.

“Jadi.. tolong berhenti berlakon!,” kata Ahli Parlimen Sepang tersebut dalam kenyataan hari ini.

Hanipa mengulas kontroversi yang timbul berikutan klip video tular yang menunjukkan aksi Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Hakim Tan Sri Richard Malanjum menari pada majlis makan malam ‘Opening of Legal Year 2019’, kelmarin.

Turut berjoget Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong di pentas anjuran Sabah Law Society di Kota Kinabalu.