Tarif air akan naik, kerajaan negeri Melaka timbangkan dua kaedah tidak beban B40

Tarif air akan naik, kerajaan negeri Melaka timbangkan dua kaedah tidak beban B40

Kerajaan Melaka sedang mempertimbang dua kaedah menangani kadar kenaikan tarif air yang dijangka berlaku tahun ini tanpa membebankan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Dua kaedah itu ialah memberikan insentif kepada kumpulan B40 dan menawarkan formula insentif kepada isi rumah yang menunjukkan penjimatan dalam menggunakan sumber air.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata perkara itu kini sedang dibincangkan bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Kita sedang berbincang dua kaedah ini susulan peningkatan (tarif air) dijangka tetap akan berlaku.

“Insentif kepada B40 serta isi rumah yang melakukan penjimatan pada keseluruhan bil air ini antara formula yang mungkin boleh digunakan di Melaka bagi menangani kadar kenaikan tarif air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dataran Seri Negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Terdahulu, Adly mengulas status tarif air di negeri Melaka sama ada dikekal atau dinaikkan seperti yang diumumkan di beberapa negeri lain.

Sebelum ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bercadang menaikkan tarif air secara berperingkat tahun ini.

Setakat ini, Pulau Pinang mengesahkan tarif air negeri itu naik sehingga 20 peratus, Negeri Sembilan dan Perak masih mengkaji kesan kepada pengguna, manakala Johor tidak akan menaikkan kadar tarif utiliti itu atas alasan sudah melakukannya pada 2015.

Adly berkata, cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk menaikkan tarif air memerlukan perbincangan secara terperinci memandangkan kadar tarif air berbeza di setiap negeri.

Ditanya mengenai faktor kenaikan tarif air di Melaka, Adly berkata, antaranya kerana kerajaan terpaksa membeli sebahagian daripada sumber bekalan air dari negeri jiran untuk menampung keperluan bekalan air di negeri ini.

“Selain membeli sebahagian sumber air, kita juga berdepan isu penyelenggaraan serta keperluan untuk pembangunan insfrastruktur, termasuk pembinaan empangan baharu.

“Sekiranya tidak ada peningkatan tarif air, kita juga tidak dapat menyediakan segala infrastruktur. Ini kerana kos pengurusan air terus meningkat yang akhirnya boleh mengakibatkan krisis air pada masa depan,” katanya.