Malaysia Dateline

Tarik balik darjah, pingat kerana rasuah disambut baik

Keputusan Sultan Selangor untuk menarik balik darjah, bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor yang dikurniakan kepada pegawai kerajaan dan ahli politik yang didapati melakukan kesalahan rasuah mendapat sokongan penuh dari AMANAH.

Naib Presidennya, Hasanuddin Mohd Yunus dalam satu kenyataannya berkata, warga Malaysia dan rakyat Negeri Selangor amnya dan penduduk di Hulu Langat khasnya menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor itu.

“Mereka boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di Selangor,” kata ahli parlimen Hulu Langat yang juga Ketua Whip AMANAH di Dewan Rakyat itu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dilaporkan media sebagai berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat dukacita dengan berita pegawai kerajaan negeri ditangkap kerana rasuah.

Baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan di negeri Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Baginda juga menyeru SPRM terus menjalankan penyiasatan yang telus serta mendapatkan bukti kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tidak terlepas daripada menerima hukuman sewajarnya.