Malaysia Dateline

Tarik balik jawatan wakil rakyat jika melompat, cadang MP DAP

Undang-undang sistem pilihanraya yang menarik balik kedudukan seseorang wakil rakyat, lebih sesuai digubal untuk menghalang mereka dari berpaling tadah, berbanding menggubal akta anti lompat parti, kata Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

WONG SHU QI

Beliau berkata, akta anti lompat parti sebenarnya melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan bersekutu untuk semua rakyat Malaysia.

“Kita harus terlebih dahulu mengakui bahawa tidak semua pembelotan adalah seburuk yang kita lihat sekarang.

“Sebagai contoh, bolehkah seorang Ahli Parlimen kerajaan, yang tidak setuju dengan keputusan parti untuk membina loji tenaga nuklear di kawasannya, berpaling tadah menyertai pembangkang yang menentang dasar tersebut?

“Adakah tindakan ini juga akan dipertimbangkan dalam pandangan yang sama dengan mereka yang membelot demi kepentingan peribadi?” soalnya.

Wong berkata, konstituen perlu diperkasakan untuk memulakan pemilihan semula seperti mengundi untuk melucutkan kedudukan wakil rakyat yang dipilih jika rakyat tidak setuju dengan pembelotan tersebut.

Dengan kata lain, mana-mana Ahli Parlimen yang terpilih atau ADUN yang membelot mungkin menghadapi penarikan semula kedudukannya yang akan memendekkan atau mengakhiri karier mereka.

Pada masa sama ujar Wong, parti-parti politik akan berfikir dua kali jika mereka benar-benar ingin membelot sekiranya tidak ada kepentingan awam yang serius untuk menjustifikasi tindakan mereka.

Menurutnya, tindakan mengkhianat itu akan sia-sia sekiranya Ahli Parlimen atau ADUN dapat disingkirkan dalam penarikan balik kedudukan.

“Oleh itu, hanya mereka yang mempunyai alasan yang sangat kuat akan memilih untuk melakukan pembelotan. Walaupun begitu, mereka harus meyakinkan pengundi mereka dengan alasan tersebut.

“Kerana kecewa, ramai yang menuntut undang-undang anti-lompat untuk menghalang pembelotan secara langsung. Pada pendapat saya, sistem pilihanraya tarik balik kedudukan wakil rakyat adalah penyelesaian yang lebih baik daripada undang-undang anti lompat,” katanya lagi