Tarik balik keputusan bubar DUN Melaka demi kepentingan nyawa rakyat, kata Pejuang

Oleh NASUHA RAHMAN

Parti Pejuang Tanahair sama sekali menolak tindakan Umno untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan penarikan sokongan oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Umno dan Bersatu terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pertelingkahan dalaman Umno tidak sepatutnya mengheret seluruh rakyat Melaka ke dalam kancah politik melalui pilihan raya yang tidak perlu ketika Melaka baru naik ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pada hari ini sahaja terdapat 9,380 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara dan dari jumlah itu, 200 kes adalah di Melaka.

“Sepatutnya kepimpinan Umno dan Perikatan Nasional peka dengan keadaan kadar jangkitan COVID-19 yang menular ke seluruh negara sejurus selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Adakah nyawa rakyat Melaka dan Malaysia hendak dipertaruhkan semata-mata untuk mengekalkan atau merampas kuasa kerajaan negeri?” soal beliau.

Bahkan katanya, Baginda Yang diPertuan Agong sudah menitahkan agar dikurangkan suhu politik dan diutamakan kesejahteraan rakyat.

“Sebaiknya keputusan untuk membubar Dewan Undangan Negeri Melaka dan mengadakan pilihanraya negeri ditarik balik atas kepentingan nyawa rakyat.

“Pemimpin Umno dan Perikatan Nasional di peringkat pusat dan negeri dituntut untuk ketepikan kepentingan peribadi dan parti, hentikan politik toksik, dan sebaiknya meletakkan kepentingan rakyat terkehadapan,” katanya.