Malaysia Dateline

Tarik balik kompaun tinggi, ia tidak berkesan kawal Covid-19, kata peguam

Kerajaan digesa untuk menarik balik jumlah kompaun yang begitu tinggi yang ditetapkan kerana kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana ia tidak membantu usaha kerajaan untuk memastikan SOP dipatuhi.

Peguam Syahredzan Johan berkata, jika kerajaan merasakan bahawa terdapat keperluan untuk memastikan pematuhan SOP, adalah lebih baik sekiranya langkah-langkah diambil untuk meningkatkan kesedaran dan pada masa yang sama, memastikan tiada double standard dalam perlaksanaan undang-undang sedia ada.

Pada 11 Mac 2021, Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 (“Ordinan Darurat”) atas nasihat Kerajaan Persekutuan. Ordinan Darurat tersebut telah membuat berapa pindaan ke atas Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324) (“Akta tersebut”).

Antara pindaan yang dibuat adalah meningkatkan jumlah kompaun yang boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta tersebut atau mana-mana peraturan yang dibuat bawah Akta tersebut. Seperti yang diketahui umum, kompaun bagi individu telah dinaikkan kepada jumlah wang sebanyak RM10,000.00, manakala bagi pertubuhan perbadanan ia telah dinaikkan kepada jumlah wang sebanyak RM50,000.00.

Selepas Ordinan Darurat tersebut berkuatkuasa, terdapat begitu banyak laporan-laporan mengenai rakyat biasa yang dikenakan kompaun.

Antaranya, remaja yang dikenakan kompaun kerana tidak mendaftar MySejahtera sebelum masuk ke premis, peniaga-peniaga di Kota Bharu yang dikenakan kompaun RM50,000.00 dan baru-baru ini dilaporkan juga seorang peniaga di Sabah juga telah dikenakan kompaun yang sama.

Mereka yang dikenakan kompaun ini rata-rata tidak mampu untuk membayar kompaun yang begitu tinggi, walaupun rayuan boleh dikemukakan.

Menurut Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang itu, semasa Ordinan Darurat dimasyhurkan pada 11 Mac 2021, terdapat 1,647 kes baharu dengan 319,364 kes kumulatif dan 9 kematian dengan 1,200 kematian kumulatif.

Pada 29 April 2021 pula, iaitu 49 hari selepas Ordinan Darurat berkuatkuasa, terdapat 3,332 kes baharu dengan 404,925 kes kumulatif dan 15 kematian dengan 1,492 kematian.
“Ini bermakna, terdapat peningkatan sebanyak 85,561 kes positif kumulatif dan 292 kematian yang bertambah sejak Ordinan Darurat ini berkuatkuasa,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, kata beliau, kes-kes harian juga mencatatkan peningkatan dalam masa 49 hari yang lepas dan negara juga dikatakan berada dalam ‘gelombang keempat’ wabak ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri telah mengatakan bahawa peningkatan kompaun ini untuk ‘menjaga rakyat’ dan bukannya untuk menganiaya rakyat.

Akan tetapi, katanya, jelas daripada data dan angka sejak 49 hari yang lepas bahawa peningkatan jumlah kompaun yang tinggi langsung tidak berkesan dalam mengawal penyebaran virus tersebut malahan bersifat menekan rakyat.