Malaysia Dateline

Tarik balik pertuduhan kegagalan Muhyiddin paling nyata dalam 100 hari pertama

Keputusan Peguam Negara dalam mengendali kes rasuah melibatkan individu berkepentingan dan ahli politik adalah kegagalan yang paling ketara kepada 100 Hari Pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khaldi Abd Samad berkata, selain itu, pembentukan saiz Kabinet yang besar sebanyak lebih 70 orang Menteri memakan kos lebih tinggi berbanding Kabinet sewaktu zaman Pakatan Harapan.

“Bila ditambah kementerian, segala kelengkapan perlu diwujudkan termasuklah kakitangan, pegawai dan pejabat untuk mereka.

“Ini semua menjadi masalah yang merumitkan kerajaan dari segi pentadbiran dan kos. Kita anggarkan kos kerajaan sedia ada berbanding kos PH dulu sudah meningkat dalam 30 peratus,” katanya dalam Bicara YB Khalid Samad, 100 hari PN, apa yang dibanggakan.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, apa yang dicapai PN hanyalah sekadar menambahkan kos dan merudumkan lagi kecekapan pentadbiran dalam keadaan kerja berkurang namun pegawai bertambah.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan PN juga boleh dianggap mengamalkan sistem komunis apabila tiada semak dan imbang melalui sidang Parlimen untuk meluluskan perbelanjaan yang perlu digunakan kerajaan.

“Sistem komunis sekarang lebih mirip dibawa Perikatan Nasional yang tidak membahas soal perbelanjaan di Parlimen.

“Membelanjakan berbilion tapi tiada semak dan imbang. Tak pernah dibentang di Parlimen untuk dapat kelulusan atau dibahas bersama. Akhirnya kita tak nampak keberkesanan kerana masalah ekonomi tetap terus dihadapi.

“Kalau nak kata PH ini komunis seperti didakwa golongan radikal Melayu, apa yang berlaku zaman PN ini lagi teruk. Tunggang terbalik tetapi mereka diam je,” katanya lagi.

Antara lain yang disenaraikan juga termasuklah apa yang tersebar ketika ini bahawa PN berjaya menangani ancaman Covid-19.

Walhal kata Khalid, segala kejayaan tersebut adalah hasil dari kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak December tahun lalu lagi.

Tambah Khalid lagi, keadaan ekonomi negara turut mengalami defisit dua kali ganda lebih besar daripada sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan.

Katanya, tindakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul yang mendakwa kedudukan kewangan negara adalah kukuh akhirnya memperlihatkan negara di bawah PN sendiri mengalami kadar defisit yang tertinggi sejak 15 tahun dahulu.

“PN bangga dengan keadaan kewangan negara. Zafrul kata ekonomi tak terjejas, duit banyak. Bagaimana satu dunia ekonomi terjejas tetapi Malaysia tak terjejas?

“Tapi baru-baru ini dia sebut defisit akan bertambah jadi dua kali ganda. Kalau defisit maknanya dia telah ambil pinjaman lebih daripada apa yang telah dirancang pada asalnya.

“Defisit sebanyak enam peratus adalah yang tertinggi sejak 10 hingga 15 tahun lalu,” ujarnya lagi.