Tarik balik ratifikasi Statut Rom langkah terbaik, kata Peguam Khairul Azam

Tarik balik ratifikasi Statut Rom langkah terbaik, kata Peguam Khairul Azam

Peguambela & Peguamcara, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (gambar atas – berbaju putih) menyifatkan penarikan balik ratifikasi Statut Rom (SR) semalam, adalah keputusan terbaik yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, terdapat dua isu yang berbangkit dalam SR, iaitu ratifikasi itu sendiri dan juga cara ianya diratifikasikan.

Katanya, Perlembagaan Perkara 38 (4) menyatakan bahawa, jika mahu masuk dalam undang-undang atau perjanjian yang melibatkan kedudukan Raja Melayu, kerajaan perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

“SR ini tidak bahaya… yang bahayanya adalah tindakan kerajaan yang tidak mengikut perlembagaan.

“Malaysia kena masuk SR dengan cara yang betul.. kalau masuk dengan melanggar keistimewaan kedudukan Raja-Raja Melayu, itu adalah tindakan tidak berpelembagaan,” katanya ketika ditemui pada Forum Statut Rom, di Menara Dato Onn, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khairul turut mengulas, menarik diri daripada SR bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Tiada yang pelik menarik diri daripada ratifikasi ini sebab baru-baru ini Filipina pun sudah tarik diri.

“Tindakan Malaysia menarik diri daripada ratifikasi ini adalah jalan yang terbaik demi mengelakkan isu ini menjadi lebih besar,” katanya.

Semalam, kabinet mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.