Tarik balik saman SR menepati ramalan, kata Mohamed Hanipa

Tarik balik saman SR menepati ramalan, kata Mohamed Hanipa

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata tindakan Presiden Pas Abdul Hadi Awang menarik balik saman ke atas Sarawak Report (SR) bertepatan dengan ramalannya.

Beliau berkata, dengan penarikan balik saman Pas ke atas Sarawak Report bermakna tidak dapat dipastikan dakwaan ke atas SR memfitnah Pas, sama ada benar atau tidak benar, kini tidak dapat dibuktikan di mahkamah.

“Darri awal saya dah ramal beliau akan tarik saman itu. Nampaknya betul ramalan saya kali ini.” ujarnya tanpa memperjelaskan sebab beliau¬† membuat ramalan sedemikian.

MohamedHanipa Maidin

Mohamed Hanipa yang juga timbalan menteri undang-undang berkata, dengan tindakan Pas menarik balik saman ke atas SR tidak dianggap Pas menang dalam kes tersebut.

“Biasa orang menang kes fitnah di London lagi dapat duit banyak. Tapi dalam kes ini nampaknya tak bicara maka dah tentu tak menang. Yang lebih best lagi duit dah banyak keluar walaupun belum bicara jauh sekali menang.

“Bila saman fitnah tak diteruskan, logiknya tak dapat dipastikan apa yang dikatakan oleh SR itu fitnah atau tidak.

“Bila kes tak jalan dan ditarik balik maknanya itu bukan dikira menang. Bila tak menang maknanya tak boleh kata apa yang disiarkan oleh SR adalah confirmed fitnah.

“Apatah lagi dalam terma penyelesaian yang saya baca, tiada pun sebaris ayat SR tarik balik tuduhan atau minta maaf yang mungkin boleh ditafsir sebagai satu “concession” atau pengakuan apa yang disiarkan oleh SR adalah fitnah,” ujarnya lagi.

Justeru katanya penyebaran audio yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu tidak dibantah oleh Pas membuktikan ia adalah benar.

“Bila tarik balik kes dalam keadaan sebelum ini dilapor media audio “ana tahu” tidak dibantah jadi keterangan ia menimbulkan spekulasi bahawa isi audio itu mungkin sahaja tiada yang lain kecuali benar belaka.

“Saya rasa ahli bawah parti ehem mahukan kes itu dibicarakan tapi nampak kini harapan hanya tinggal harapan. Tak pe derma untuk perjuangan Islam atas ruh wala’ akan dikira satu amalan baik,” ujarnya dalam kenyataannya hari ini.

Mohamed Hanipa dipercayai mengulas mengenai tindakan Presiden Pas Abdul Hadi Awang hari ini, dalam kenyataan rasmi menarik balik saman ke atas editor SR Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah di London, United Kingdom menerusi kenyataan rasmi Setiausaha Politik kepada Presiden Pas Syahir Sulaiman.

Manakala Claire dalam kenyataan hari ini juga dipetik berkata, beliau berpuashati dengan penyelesaian luar mahkamah dalam saman Abdul Hadi itu terhadapnya dan berharap dapat bersemuka dengan pihak yang menyamannya di mahkamah.