Malaysia Dateline

Tarik balik sokongan kepada Muhyiddin, gertak MT Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi menggertak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan meminta agar Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka kepada beliau berikutan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunaikan janji mereka sebelum ini.

Bekas Ketua Pengarah Jasa itu berkata, mungkin tidak semua Ahli Parlimen BN sanggup untuk melakukannya tetapi tiga ke lima ahli sudah mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin.

“Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam kamikaze. Tetapi apa salahnya, demi rakyat.

“Mungkin tidak semua MP BNBBC sanggup. Lima tarik sokongan pun Alhamdulillah. Tiga pun ok. Gunakan hati nurani,” kata beliau menerusi facebooknya.

Menurut beliau, Muhyiddin memang lega kerana Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan telah lulus dan menyebabkan kerajaannya kekal.

“Tetapi rakyat belum lega,” kata beliau menerusi facebooknya.

Katanya, janji mempermudahkan I-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya.

Terdapat pula bank-bank yang liat, kata beliau.

“Rakyat terbelenggu dengan kriteria. Terutama untuk kategori 2 pengeluaran KWSP. Moratorium automatik hanya diberi kepada golongan B40, M40 dan peniaga IKS,” katanya.

Menurut beliau, Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, akan terus menuntut kerajaan PN menepati janji sehingga dua isu ini diselesaikan sepenuhnya.

“Najib jelaskan, bajet terpaksa disokong kerana tinggal dua minggu lagi sebelum tahun 2021 bermula. Jika bajet tidak lulus Kerajaan sukar berfungsi untuk tempoh dua minggu lagi.

“Tetapi menurut Najib, jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak,” kata bekas timbalan menteri itu.

Betul, katanya, MP akan dipertanggungjawabkan.

“Mereka sahaja yang boleh mengundi. Harga seorang MP memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan “keberanian politik”.

“Justeru apa langkah seterusnya yang boleh dilakukan?” melainkan tarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Pengundian Belanjawan 2021 sebelum ini menunjukkan, Kerajaaan PN mempunyai 111 penyokong manakala pembangkang pula mempunyai 108 penyokong.

Jika tiga dari penyokong PN itu beralih arah, kerajaan PN hanya akan tinggal 108 dan pembangkang pula akan mendapat 111 penyokong, cukup untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin itu.