Malaysia Dateline

Tarik balik sokongan kerana 1MDB

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan kerana apa yang beliau minta tidak dapat seperti yang didakwa Najib.

Sebaliknya kata beliau, beliau menarik balik sokongannya terhadap Najib apabila rahsia hutang dan kerugian 1MDB terbongkar.

“1MDB hutang RM42 billion Ringgit iaitu 42,000 kali ganda lebih besar daripada modal. Wang ini dipinjam dengan faedah yang amat tinggi dan komisyen kepada Golden Sachs berjumlah 10%.

“Wang ini diguna untuk beli stesen janakuasa yang usang dan hampir tamat lesen dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Hutang sebanyak RM 8 billion diambil alih menjadi jumlah hutang RM50 billion,” tulis beliau dalam blognya Chedet.

“Stesyen digabung menjadi Edra. Tetapi pulangan begitu rendah sehingga tidak dapat bayar faedah dan terpaksa dijual. Ia tidak boleh disenarai kerana akaunnya tidak dapat disah oleh juruaudit. Ia terpaksa dijual kepada syarikat negara Cina kerana TNB tidak dapat bayar harga yang boleh selesaikan hutang sebanyak RM 18 billion.

“Baki hutang diguna untuk beli tanah Kerajaan dengan harga yang amat murah iaitu RM 60 skp sedangkan tanah berdekatan dijual dengan harga RM7000 skp. Harga belian tanah lapangan terbang tidak disebut.

“Tanah yang diduduki oleh setinggan di Pulau Pinang dibeli dengan harga yang amat tinggi. Sukar untuk dibangun.

“Percubaan dibuat untuk jual tanah Jalan Tun Razak yang dibeli dengan harga RM60 skp dari Kerajaan, kepada Tabung Haji dengan harga RM3000 skp (50 kali ganda harga beli). Wajarkah Kerajaan rugi sebanyak RM2940 skp. Inikah perniagaan stategik 1MDB?” soal beliau.

Menurut Mahathir, akhbar dunia telah melaporkan berkenaan Jho Low dan persahabatannya dengan Najib, cara hidupnya dan pembelian rumah mewah, pembiayaan filem Wolf of Wall Street bersama anak tiri Najib jauh lebih awal daripada beliau menyebut soal 1MDB.

“Semua ini yang memburukkan imej negara. Ia menjadi lebih buruk kerana laporan tentang pelaburan 1MDB, dan kemudian wang yang terdapat dalam akaun peribadi Najib sebanyak RM 2.6 billion,” kata beliau lagi.

Jelasnya lagi, jika ada sesiapa yang merosakkan imej negara, ia adalah Najib sendiri, sebelum ini imej negara amat baik.