Malaysia Dateline

Tarik balik SOP kuarantin Covid 19 dua darjat, utamakan keselamatan rakyat

Biro Kesihatan AWAN Nasional mendesak Kerajaan untuk menarik semula peraturan yang mengecualikan menteri dari menjalani tempoh pemerhatian dan pengawasan selama 10 hari seperti rakyat lain.

Pengerusinya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, keputusan itu tidak masuk akal dan seolah-olah wabak Covid-19 mampu mengenal mangsanya sehingga menggunakan prosedur operasi standard (SOP) berbeza untuk golongan menteri.

Tegasnya, rakyat perlu diberikan penjelasan berhubung keputusan berkenaan dan apa sebenarnya alasan kerajaan untuk menguatkuasakan peraturan itu.

“Pelbagai pihak termasuk pakar-pakar kesihatan mengecam tindakan ini kerana dilihat sebagai satu langkah ke belakang dalam usaha kita mengekang pandemik Covid-19 dan menjejaskan kesejahteraan sosioekonomi negara.

“Kenapa layanan dan SOP berbeza digunapakai? Sedarkah Menteri Kesihatan bahawa polisi baharu ini membahayakan keselamatan rakyat yang berinteraksi dengan pimpinan atasan negara.

“Pengecualian ini juga bertentangan dengan kenyataan kerajaan sebelum ini yang memberi jaminan tidak akan memberikan layanan berbeza dalam soal pematuhan SOP kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kerajaan Persekutuan mengeluarkan warta yang mengecualikan menteri dari dikuarantin selama 10 hari sebaik pulang dari luar negara atas urusan rasmi.

Warta berkenaan menjelaskan, menteri akan dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan hanya akan dipantau selama tiga hari.

Sementara itu Hafidzah berkata, semua pihak wajar mengambil iktibar tentang insiden 30 ahli politik termasuk menteri yang dijangkiti Covid 19 sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu.

Kes jangkitan Covid-19 di Sabah kemudiannya merebak ke Semenanjung ekoran pendirian Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang beberapa kali menyatakan tidak perlu kuarantin untuk mereka yang pulang dari Sabah.

“Justeru Biro Kesihatan AWAN Nasional mendesak kerajaan untuk menarik balik pengecualian ini demi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan kerajaan menangani pandemik yang telah menjangkiti lebih 248,000 orang dan mengorbankan 909 orang setakat semalam,” katanya lagi.