Malaysia Dateline

Tarik balik syarat baru ke MRSM legakan ibu bapa dan guru

Susulan desakan ramai termasuk Jawatankuasa Permuafakatan YDP PIBG Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Selangor, akhirnya syarat baru kemasukkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSB) ditarik balik.

Jawatankuasa Permuafakatan YDP PIBG SRAI Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Menteri Pembangunan Luar Bandar yang telah mengambil keputusan bijak lagi prihatin bagi mengekalkan syarat asal layak memohon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seraya membatalkan perubahan pada syarat yang diumumkan baru-baru ini.

Keputusan yag dibuat ini untuk membuka kembali ruang buat semua pelajar tanpa mengira aliran termasuk mengekalkan kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera membuktikan YB Menteri cakna rakyat, juga bersesuaian dengan semangat “keluarga Malaysia” yang digagaskan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Kami terhutang budi dengan Majlis Amanah Rakyat yang selama ini telah banyak melahirkan modal insan yang telah menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional juga separa profesional dalam pelbagai bidang di dalam dan di luar negara.

“Pengumuman YB Menteri berkaitan pengekalan syarat lama serta membatalkan perubahan pada syarat telah memberi kelegaan malah menyuntik kembali semangat buat ibubapa dan murid-murid khususnya yang telah lama menanam impian melanjutkan pelajaran ke MRSM.

“Kami wakil ibubapa, guru serta murid sekolah Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Menteri yang telah membuat keputusan yang tepat, adil lagi bijaksana.

“Kami juga akan terus membantu murid-murid SRAI khususnya untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam pencapaian akedemik, kokurikulum dan sahsiah,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan bersetuju mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebelum ini tanpa mengira aliran sekolah, selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata cadangan perubahan diumumkan sebelum ini, tidak diguna pakai selepas perbincangan bersama wakil Majlis Amanah Rakyat (MARA).