Malaysia Dateline

Tarik pelancong Rusia dan Asia Tengah dalam perancangan Tourism Malaysia

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menyasarkan lebih ramai pelancong dari bahagian timur Rusia serta dari negara-negara Asia Tengah melawat Malaysia tahun hadapan, kata Timbalan Menteri berkenaan  Muhammad Bakhtiar Wan Chik hari ini.

Beliau berkata sejumlah 52,000 pelancong Rusia melawat Malaysia tahun lepas dan jumlah itu disasarkan mencapai 100,000 menjelang akhir tahun depan.

“Jumlah kedatangan pelancong dari negara-negara Asia Tengah seperti Uzbekistan dan Kazahkstan amat menggalakkan dan kita mahu menembusi pasaran itu lebih lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan renang antarabangsa ‘Oceanman’ di sini.

Beliau berkata Malaysia Tourism Promotion Board (Tourism Malaysia) mempunyai pejabat di Moscow dan Seoul yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk menjalankan usaha promosi di Rusia dan Asia Tengah.

“Kita merancang mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa pelancongan di Thailand dan Indonesia yang sejak sekian lama  menerima ramai pelancong dari Rusia bagi membawa pelancong itu melawat negara ini,” tambah beliau.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata perancangan Qatar Airways untuk memulakan penerbangan ke Langkawi pada April tahun hadapan akan mampu meningkatkan jumlah pelancong ke pulau peranginan ini.

Beliau berkata kementeriannya akan terus menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa menyertakan Langkawi dalam laluan  mereka selain memberi kemudahan bagi penganjuran lebih banyak acara antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.

“Pengusaha pelancongan tempatan menyalahkan kurangnya penyambungan sebagai antara yang menjadi punca yang menghalang kemasukan lebih banyak pelancong di mana kita sedang menangani perkara ini dan pada masa yang sama Langkawi mempunyai keupayaan menganjurkan acara antarabangsa dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Beliau berkata seperti kejohanan ‘Oceanman’ ini adalah antara acara antarabangsa yang sejajar dengan perancangan  kementerian untuk meningkatkan jumlah pelancong ke pulau ini.

“Sejumlah 280 peserta daripada 19 negara mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan ini memberi kesan berganda apabila mereka membawa bersama anggota keluarga dan para penyokong untuk melancong di Pulau Langkawi,” katanya

— BERNAMA