Individu yang sudah lengkap menerima vaksin, masih boleh dijangkiti virus Covid-19 dan berpotensi menjadi pembawa yang akhirnya akan menularkannya kepada orang lain.
Menurut Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) keputusan kerajaan memberi kebenaran kepada pengembara yang pulang dari luar negara ke Malaysia untuk melalui kuarantin di rumah adalah sangat berbahaya.
Ini kerana menurut Ketuanya Aiman Athirah Al Jundi tiada pengawasan daripada pihak berkuasa, lebih-lebih lagi jika mereka tidak dipakaikan gelang merah.
Tambahan pula katanya, mereka boleh keluar membeli makanan, atau berjumpa kawan-kawan, atau saudara mara bebas datang menziarah
“Jika pengembara yang baru pulang ini tanpa sedar membawa varian Covid-19 yang lebih ganas, maka penularan lebih besar dan berbahaya akan boleh berlaku,”katanya.
Malaysia masih bergelut menangani varian Delta, maka jika ditambah pula dengan pelbagai varian yang lebih ganas, katanya akan membuatkan sistem kesihatan negara berpotensi terus lumpuh.
Katanya, kemunculan varian lebih ganas seperti Lambda dan Delta Plus akan menyebabkan kesukaran pihak berkuasa mengawal pandemik Covid-19 dalam negara, yang sehingga kini semakin memburuk dengan lapan kematian direkodkan pada setiap jam.
“Adalah sangat penting dan wajar untuk kerajaan segera menarik semula keputusan membenarkan kuarantin di rumah kepada semua pengembara luar negara yang pulang ke Malaysia.
“Kegagalan mengambil tindakan segera dan wajar akan hanya mengundang malapetaka baharu yang lebih besar kepada rakyat dan seluruh entiti negara ini,” kata beliau.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas kemudahan bagi individu yang menerima vaksinasi lengkap memaklumkan pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia termasuk Penduduk Tetap dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.