Malaysia Dateline

Tarik sokongan dari PN: Jazlan nafi terpengaruh mana-mana pihak

Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub menafikan membuat keputusan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana terpengaruh dengan mana-mana pihak.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu berkata, tindakannya itu adalah keputusan sebulat suara sewaktu mesyuarat di empat peringkat perhubungan negeri yang menyokong keputusannya.

“Ekoran daripada pengumuman saya, jujur saya nyatakan, keputusan saya tidak terpengaruh atau dipengaruhi mana-mana pihak. Saya buat seikhlas hati saya demi rakyat dan parti saya.

“Dalam situasi begini, apa pilihan yang saya ada? Sama ada mementingkan rakyat dan parti sebagai mana disarankan oleh badan perhubungan empat peringkat, atau berdiam diri sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab kepada organisasi parti di Kelantan.

“Maka pengumuman saya untuk tidak menyokong kerajaan yang ada di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang berlandaskan kepada naratif yang saya sebut di dalam sidang media saya semalam,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Jazlan mendakwa antara kegagalan kerajaan PN adalah berkenaan moratorium dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilihat tidak mencapai matlamat sebenar, termasuk kegagalan mengurus isu pandemik Covid-19.

Beliau mengakui keputusannya itu pasti menimbulkan pelbagai reaksi, namun mendakwa ia sekadar mempertahankan prinsipnya dan maruah Umno yang didukung bukannya ada kepentingan peribadi.

Pada masa sama, katanya, pengangguran yang membimbangkan dan prestasi ekonomi semakin menguncup juga menjadi faktor beliau menarik diri daripada menyokong PN.