YouTuber, Nick atau nama sebenarnya, Fakhrul Rushdan Roslan, 24, mengakui tidak boleh tidur di lokap Balai Polis Wangsa Maju susulan ditahan selepas membuat dan muat naik kandungan YouTube mengenai tarik tudung muslimah.
Pemuda berkenaan dengan salurannya di YouTube, NickChannel yang sebelum ini bertegas tidak peduli apa orang nak kata meminta maaf terutama kepada masyarakat Islam ekoran rakaman video ‘prank’ itu.
“Bila di lokap itu, saya memang tidak boleh tidur. Hati tak tenteram kerana fikirkan keluarga. Sedih dan tak boleh terima apa diri saya buat.
“Saya faham perkara itu berkait dengan soal agama tetapi ketika saya buat (video) itu, saya tak berfikir panjang. Apabila jadi begini barulah saya terfikir kesannya.
“Saya minta maaf pada semua netizen dan seluruh rakyat Malaysia terutama orang Melayu kita yang beragama Islam dengan content yang saya dah buat,” katanya dalam temubual Harian Metro semalam.
Nick yang ditahan polis pada 7.30 malam, 4 Julai lalu telah menerima hukuman atas kesilapan itu apabila didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, dan dikenakan denda mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Dia kemudiannya mendapat bantuan rakan, Erwinsyah Sumidi, 36, yang membayar ikat jamin RM3,500 selain turut menasihatinya.
Jelas Nick, ibunya paling sedih atas apa yang berlaku dan dia belum berkesempatan bersemuka dengan ibunya itu di rumah keluarga di Rawang.
“Saya hanya berhubung di telefon dan menjelaskan hal sebenar. Emak, ayah dan abang tahu semuanya dan mereka sedih, tapi emak yang paling terkesan.
“Saya hanya mampu berterus terang, mengakui kesilapan saya dan meminta maaf. Saya beritahu akan selesaikan semuanya dan menjaga air muka mereka,” katanya yang sedar keluarganya marah dengan tindakan melulu itu.
Video ‘prank’ yang dirakam di Ampang itu mengundang kecaman dahsyat daripada warganet termasuk menyifatkan sebagai satu tindakan biadab dan merendahkan maruah wanita Islam.
Bahkan, ada mengaitkan tindakan Nick seperti Yahudi Bani Qaynuqa’ yang mencabut hijab muslimah lalu ditertawakan sehingga seorang Muslim yang memukul Yahudi itu syahid lantaran mempertahankan aurat muslimah terbabit.
Dalam video penjelasannya yang dimuatnaik pada 4 Julai dan turut disertai dua wanita yang ditarik tudung itu, berkata, video itu dibuat sebab mahu melihat bagaimana rakyat Malaysia menilai ‘content’ yang dibuat Youtuber.
Mengakhiri temubualnya itu, Nick berharap orang ramai dapat menerimanya selepas ini.
“Saya tahu penyesalan saya dan saya cuba perbetulkan kesalahan saya sendiri. Saya harap pihak netizen dan orang Malaysia semua boleh terima saya selepas ini,” katanya lagi.
Baca juga Netizen kecam YouTuber buat ‘content’ tarik tudung jatuhkan maruah wanita
Baca juga Sharifah Sakinah gayakan rambut hampir botak, ramai puji nampak ‘cool’