Malaysia Dateline

Tasik Titiwangsa banyak sampah

Keindahan Tasik Titiwangsa tercemar akibat tiadanya kesedaran sivik segelintir pengunjung.

Ada yang digantung di pagar. Ada pula sudah berselerak ditiup angin atau mungkin sudah dibongkar anjing liar.

Itu keadaan sampah plastik yang ditinggalkan segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab di Tasik Titiwangsa yang lebih 100 tahun lalu diliputi hutan hujan tropika dan dianggap kawasan pedalaman Kuala Lumpur.

Tinjauan Malaysia Dateline jam 8 pagi tadi mendapati bekas plastik makanan dan minuman bertaburan di kawasan siar kaki yang mengelilingi tasik bekas lombong bijih timah di sepanjang Jalan Temerloh dan Jalan Kuantan itu.

Difahamkan, sampah itu ditinggalkan oleh pengunjung di sebelah malamnya yang rata-ratanya merupakan golongan muda sama ada berpasangan mahupun berkumpulan.

Sambil melepak sehingga larut malam menyaksikan keindahan bandar raya dengan tasik dilatari KLCC, Menara KL dan Istana Budaya, mereka tanpa rasa bersalah meninggalkan sampah plastik begitu sahaja.

Lebih melampau apabila ada sampah plastik itu sudah berada di tebing tasik dipercayai dicampak mereka terbabit hingga melepasi pagar yang memisahkan tasik dan siar kaki itu.

Perangai golongan “sampah masyarakat” tersebut bukan sahaja menjejaskan keindahan tasik yang sebelum tahun 1980 dinamakan Taman Jalan Kuantan itu.

Sikap mereka yang tidak rasa bersalah meninggalkan sampah plastik di sepanjang siar kaki di tasik seluas 46 hektar itu pada masa sama dibimbangi mengaibkan negara di mata warga asing.

Hal ini memandangkan sepanjang pemerhatian Malaysia Dateline, Tasik Titiwangsa turut menjadi pilihan golongan ekspatriat untuk beriadah termasuk berjogging dan berbasikal.

Sampah plastik juga bertaburan di tebing tasik seluas 46 hektar itu.
Pengunjung tegar membiarkan bekas plastik bersepah walaupun tong sampah sudah disediakan.
Kawasan siar kaki di sepanjang Jalan Temerloh dan Jalan Kuantan jadi medan “sampah masyarakat” melepak dan membuang sampah plastik.
Setiap rakyat Malaysia mesti menghargai keindahan taman awam dengan tidak membuang sampah di merata tempat.