Malaysia Dateline

‘Task force khas’ tuntutan waris Kesultanan Sulu RM62.59 bilion perlu libatkan pembangkang

Langkah kerajaan menubuhkan ‘task force khas’ bagi menangani tuntutan waris Kesultanan Sulu bernilai RM62.59 bilion perlu melibatkan semua parti termasuk pembangkang.

Ini kerana, tuntutan yang dibuat oleh waris Kesultanan Sulu melibatkan aset negara tidak harus dipandang enteng, sebaliknya tindakan serius dan segera perlu diambil bagi memastikan aset negara terpelihara.

Naib Presiden AMANAH, Dato Mahfuz Omar berkata, usaha kerajaan menubuhkan sebuah ‘task force khas’ bagi menangani isu tuntutan waris kesultanan Sulu tersebut adalah dialu-alukan.

'Task force khas' tuntutan waris Kesultanan Sulu RM62.59 bilion perlu libatkan pembangkang
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar

Namun begitu masih ada kepincangan dalam penubuhan ‘task force khas’ tersebut, kata Mahfuz.

“Task force khas’ yang dibentuk bagi menangani isu besar melibatkan kepentingan dan kedaultan negara ini seharusnya lebih praktikal, adil dan terdiri dari pelbagai parti bukannya hanya dikalangan parti pemerintah sahaja.

“Kerajaan Ismail Sabri harus bersifat lebih terbuka dengan turut memberi ruang kepada parti oposisi untuk sama-sama berada dalam ‘task force khas’ yang dibentuk tersebut.

“Perlu ada input baru termasuk pembangkang bagi memastikan keberkesanan dalam isu tuntutan waris kesultanan Sulu tersebut.

“Sekiranya ia tidak dapat direalisasikan adalah dibimbangi kabinet yang sekarang umpama kapal yang hanyut akan tenggelam setelah ketara kelemahan kerajaan sedia ada, ” ujar beliau ketika dihubungi.

Tambah Mahfuz lagi, Datuk Seri Najib bersama kabinet pimpinan beliau sebelum ini juga harus dipersalahkan dalam isu membabitkan tuntutan waris kesultanan Sulu tersebut dan Najib serta kabinet beliau tidak boleh dibiarkan lepas tangan begitu sahaja.

Tegasnya, Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan sempit apabila berhadapan dengan ancaman kedaulatan wilayah sedemikian dan ancaman ini merupakan ugutan yang begitu ketara dan harus ditentang sehabis-habisan.

Baca juga: Malaysia boleh jadi bankrap jika Waris Kesultanan Sulu berjaya tuntut RM62.59 bilion

Baca juga: Disimbah cecair sebelum dicucuh api, remaja melecur dibakar rakan