Malaysia Dateline

Tatkala di ‘puncak’

Ilham menulis artikel ini timbul ketika memandang puncak Gunung Ledang yang terletak di negeri Johor. Ketika itu baru dalam perjalanan menziarahi rakan-rakan yang ditimpa musibah banjir besar di samping membawa bantuan sumbangan orang awam.

Dari puncak Gunung Kinabalu

Kemudian teringat sewaktu mengunjungi Kinabalu, merentas banjaran Titiwangsa, Sierra Nevada, Brecon, Qal’ah Karak dan sebagainya. Himpunan kenangan itu bertalu-talu memaku dalam pemikiran saya betapa hebat dan besarnya makna di sebalik tingginya sesuatu gunung itu.

Ini juga berkaitan ayat al Quran di dalam surah al A’araf di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”. Gunung yang dimaksudkan oleh ayat tersebut adalah Gunung Tursina. Ayat ini menceritakan perihal Nabi Musa AS yang mahu melihat zat Allah SWT.

Mengapa di gunung?

Tulisan ini tidak akan mentafsirkan ayat-ayat suci itu. Ini sekadar pandangan yang keluar dalam tempurung otak saya.

Dalam tradisi masyarakat pagan, ada yang menjadikan gunung sebagai pusat penyembahan dan tuhan. Kerana itu, bersama gunung dipaterikan dengan dongeng dan metos. Sejuta pujian dan kata-kata indah yang tidak putus dikirimkan di kaki gunung zaman berzaman. Inilah yang berlaku kepada kebanyakan pemimpin politik yang berasa memiliki kuasa.

Pandangan dari puncak Gunung Kinabalu

Sains politik dan pengalaman berpolitik yang dilalui memberi pencerahan kepada diri sendiri. Pada kesempatan yang ada, elok juga dikongsi. Kerana sejarah dan alam itu adalah pengetahuan dan universiti buat mereka yang ingin menggunakan akal dalam mencari kebenaran dan kebahagian.

Sepanjang perjalanan, kita biasa menemui atau melalui pelbagai jenis tanah tinggi, bukit, gunung dan banjaran. Melihat bagaimana tanah dan bukit-bukau ditarah oleh manusia bagi memudahkan perhubungan dan mengembara.

Melihat bagaimana gunung yang tinggi mampu diredah, rodok dan dirobohkan oleh tangan-tangan manusia yang lembut. Nyata tangan manusia lebih keras, kejam dan kuat dari gunung yang tinggi melangit.

Memiliki kuasa politik pada kadar tertentu boleh membawa seseorang ke tahap seperti gunung yang dikagumi kerana keindahan, kesegaran, ketinggian, kerencaman dan segala yang ada di sekelilingnya.

Gunung seperti puaka yang menakutkan. Sama seperti pemimpin yang berkuasa, arahan dan permintaannya seperti puaka yang mesti diikuti atau dipatuhi.

Memang gunung sifatnya kukuh, gagah dan megah. Itulah sifat pemimpin yang ada ‘segala-galanya’, Ia diterjemahkan secara berbeza antara kelompok yang berlainan. Ulama dengan caranya tersendiri menyerlah kehebatannya. Raja dengan cara raja. Menteri dengan cara menteri. Ketua Kampong dengan cara Ketua Kampongnya. Begitulah seterusnya.

Memandang ke puncak Kinabalu atau mana-mana puncak gunung dan bukit, kita boleh memahami tabiat orang atas-atasan. Bayangkan jika berada di puncak Kinabalu dan puncak kuasa yang sebenarnya.

Namun paling penting adalah kepada yang melihat puncak, itu yang lebih penting. Agar yang melihat puncak tidak menjadi mangsa kepada mata dan akal diri sendiri. Jangan biarkan kaduk naik junjung. Jangan berdiam sewaktu sang puncak memuncak-muncak kesombongannya. Jangan abaikan sang bukit bernafsu gunung.

Jangan sesekali merendah begitu sekali hingga terbuang!


Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional dan

Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian AMANAH Nasional.